KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang menafikan beliau antara pemimpin kanan DAP yang terlibat dalam usaha menyingkirkan Tan Sri Lee Lam Thye daripada mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Bintang pada Pilihan Raya Umum tahun 1990.
Veteran DAP itu tidak tahu menahu dengan perancangan yang didakwa Lam Thye yang parti telah mengutus seorang pemimpin muda memintanya supaya bertanding di luar kawasan Bukit Bintang.
“Saya baru tahu ada pemimpin muda DAP berjumpa dengan Lam Thye sebelum PRU kelapan tahun 1990 untuk memintanya bertanding di kerusi lain, bukan di Bukit Bintang.
“Dakwaan dia mengatakan saya yang terlibat adalah satu penipuan, perkara itu tidak benar. Saya tak pernah minta dia kosongkan kerusi Parlimen pada 1990. Kalau ada pun, ia tidak datang dari pimpinan parti DAP,” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab tulisan Lam Thye dalam bukunya, Call Lee Lam Thye yang antara lain menceritakan bagaimana beliau yang ketika itu Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Bintang pada PRU 1990.
Lam Thye yang merupakan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat bertanding dan memenangi kerusi itu atas tiket DAP sejak PRU kelima tahun 1978.
Mengulas lanjut, Kit Siang mencabar Lam Thye mendedahkan perkara sebenar mengapa dia bersara dari politik seminggu sebelum Parlimen dibubarkan tahun 1990 dan kenapa menghilangkan diri ke luar negara.
“Jangan menipu, biarkan isu ini kembali ke catatan sejarah. Perkara ini tidak ada kaitan sama sekali dengan penipuan konon saya minta dia mengosongkan kerusi Parlimen Bukit Bintang. Saya tidak pernah berbuat demikian.
“Sebelum Lam Thye umum bersara dari politik pada 29 September 1990, saya telah berjumpanya empat kali pada September 1990 memujuknya menarik semula peletakan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan apabila dia keluar meninggalkan mesyuarat Jawatankuasa DAP mengenai isu tol Cheras.
“Saya tidak ada apa-apa untuk ditambah lagi mengenai perkara ini dan biarlah perkara ini kembali ke catatan sejarah,” katanya.
Kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, beliau hanya tahu kisah tahun 1990 mengenai pemimpin muda DAP yang bertemu Lam Thye untuk memintanya bertanding di tempat selain Bukit Bintang tanpa pengetahuan pimpinan parti itu.- MalaysiaGazette