KUALA LUMPUR – Kematian penyanyi Allahyarham Adibah Noor yang berpunca daripada kanser ovari dan dirahsiakannya selama ini telah menyentuh hati pendakwah selebriti Ustaz Datuk Mohd Kazim Elias.
Beliau berkata, timbul perasaan malu dalam dirinya atas kesabaran sifat Adibah, 52, itu.
“Kita kenal Adibah Noor seorang yang sihat selama ini apabila melihat di kaca televisyen. Tiba-tiba sahaja dia menjadi kurus sebelum meninggal dunia.
“Rasa satu tamparan buat saya. Saya malu dengan Allah dan dengan arwah sebab dia sakit tidak ada seorang pun yang tahu. Jika ada pun (orang tahu) arwah minta supaya tidak ceritakan kepada orang lain.
“Berbeza dengan saya… satu dunia tahu saya sakit. Saya belum jatuh tahap orang yang sabar seperti Adibah. Dia senyap dan tutup mulut. Dia merahsiakan tahap kesihatannya selama ini,” kata beliau dalam satu sesi perkongsian di laman sosial.
Kazim melihat tindakan arwah Adibah merahsiakan tentang sakitnya itu sebagai satu pengajaran buat semua pihak untuk lebih bersikap sabar, sesuatu perkara yang dituntut dalam Islam.
Dalam masa sama, Kazim juga mengulas sakit yang dialaminya selama ini sebagai satu ujian buat dirinya apabila ia menjadi bualan ramai.
“Ini satu pengajaran buat saya supaya menjadi sabar. Sakit itu kita simpan sebagai rahsia. Jika arwah boleh buat begitu kenapa kita tidak?
“Saya tak mahu cerita sakit saya menjadi viral, tetapi apa boleh buat. Tidak salah untuk memberitahu tentang sakit yang dialami kepada teman rapat dan orang yang boleh membantu. Ini satu ujian buat saya,” ujarnya.
Ustaz Kazim sebelum ini pernah berkongsi cerita beliau mengalami sakit misteri sejak 1997 dan tidak pernah mengetahui puncanya meskipun sudah mendapat pelbagai jenis rawatan.
Akibat perbuatan sihir itu, Kazim sering mengalami luka-luka pada beberapa bahagian tubuhnya seperti muka dan kaki. – MalaysiaGazette