BALIK PULAU – Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedia bertanding di mana-mana kawasan mengikut keputusan yang ditetapkan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Jelas beliau, keputusan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diserahkan kepada pimpinan Bersatu dan beliau selaku ahli biasa akan akur dengan keputusan yang ditetapkan parti.
Malah, secara berseloroh, beliau yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan kesediaan untuk bertanding di Permatang Pauh jika itu yang diarahkan oleh parti.
“Bukan saja di Gombak tapi saya bersedia bertanding di mana-mana namun semua keputusan itu bergantung pada kepimpinan parti.
“Bagi di Gombak pula, saya yakin dengan semangat kekeluargaan yang telah saya bina di Gombak, insyaAllah Gombak akan kekal di bawah Perikatan Nasional,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sungai Rusa, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mencabar Datuk Ser Mohamed Azmin Ali bertanding di Parlimen Gombak pada PRU15.
Beliau membuat cabaran itu selepas membidas sikap Ahli Parlimen yang melompat parti dan mengkhianati mandat rakyat pada PRU14 yang memilih Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette