Home Politik Rafizi jangka Parlimen dibubar Ogos atau September

Rafizi jangka Parlimen dibubar Ogos atau September

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjangkakan Parlimen akan dibubarkan seawal Ogos atau September depan.

Katanya, pembubaran dilakukan dalam tempoh itu bagi membolehkan Bajet 2023 dibentangkan oleh kerajaan baharu.

Sehubungan itu, Rafizi memaklumkan bakal memulakan kempen persediaan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) mulai 1 Julai ini.

Ujarnya, kempen yang akan diadakan setiap minggu bakal menumpukan tiga kumpulan iaitu pengundi tegar PKR, pengundi atas pagar dan pengundi kali pertama.

“Pengundi tegar KEADILAN dan Pakatan Harapan di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan; Pengundi atas pagar yang akan mengundi di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan dan

“Pengundi kali pertama (dari kalangan pengundi muda bawah 25 tahun dan mereka yang tidak pernah mengundi selama ini) di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, menurut Rafizi, PKR dan Pakatan Harapan (PH) dilihat boleh menjadi blok terbesar dalam Dewan Rakyat selepas PRU15 melalui tiga faktor.

Faktor pertama adalah meningkatkan jumlah keluar mengundi yang memilih PKR dan PH kepada 70 peratus.

Selain itu katanya, PKR dan PH perlu memikat kembali lima peratus pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas PRU14.

“PKR dan Pakatan Harapan berjaya memikat kembali 5 peratus dari pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas PRU14 dalam tahun 2018 dahulu untuk kembali mengundi KEADILAN dan Pakatan Harapan

“Dan ketiga PKR dan Pakatan Harapan berjaya mendapat 30 peratus peratus dari jumlah pengundi kali pertama pelbagai kaum,” tambah beliau. – MalaysiaGazette