KUALA LUMPUR – MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd bakal melancarkan satelit komunikasi MEASAT-3d pada 22 Jun ini bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan menawarkan liputan jalur lebar yang lebih baik.
Ia akan dilancarkan di Guiana, Perancis, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Menurutnya, pelancaran satelit tersebut meningkatkan akses internet di negara ini termasuk kawasan luar bandar yang sebelum ini tiada rangkaian.
“Pelancaran MEASAT-3d itu nanti menjadikan kawasan-kawasan di Malaysia yang sebelum ini aksesnya terhad seperti di luar bandar, kini dapat dihubungkan setelah ia mampu berfungsi selama sekitar 15 tahun di angkasa sebagai satelit komunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Rangkaian Nasihat Sains Asia Tenggara (SEA SAN) di sini hari ini.
Tambah Adham, MEASAT-3d mampu membolehkan rakyat Malaysia menikmati internet berkelajuan tinggi setelah satelit itu memenuhi jurang jalur lebar yang sebelum ini tidak dapat diakses.
“Dengan pelancaran MEASAT-3d pada 23 Jun waktu Malaysia iaitu sekitar pukul 3 pagi nanti, maka kita dapat menikmati jaringan 4G di negara ini ke tahap yang lebih baik termasuk di lawasan pinggir bandar dan sebagainya sebelum melangkah ke teknologi baharu 5G,” ujarnya.
Sementara itu, Adham menjelaskan, kementeriannya juga cakna berkenaan isu sekuriti makanan yang menjadi kerisauan ramai pihak sekarang.
Menurutnya, kementeriannya telah mengenal pasti sebanyak 46 penyelesaian teknologi bagi menangani isu berkenaan.
“Kita ada senaraikan 46 teknologi yang diiktiraf untuk dikembangkan misalnya bagi tingkatkan produktiviti tanaman, kita guna pakai kemudahan penyinaran gamma bagi penjanaan pelbagai tanaman baru.
“Selain itu, penggunaan baja yang berasaskan teknologi nano juga boleh lepaskan nutrien secara terkawal seterusnya dapat kurangkan pemggunaan baja. Ini boleh tingkatkan produktiviti hasil pertanian khususnya bekalan makanan,” ulasnya. – MalaysiaGazette