Home SISWA USIM komited lahir Muslim profesional

USIM komited lahir Muslim profesional

NILAI – Tahun 2022 merupakan tahun signifikan buat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam mengukur dan menilai pencapaian Misi 2022 USIM yang mana agenda utamanya ‘Mentransformasi Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi Menjelang 2022’.

Lima teras strategik menjadi fokus universiti untuk USIM menjadi glokal iaitu yang pertama, melahirkan graduan yang profesional berintegriti, kompeten dan berdaya saing. Kedua, membentuk pelajar yang beradab, holistik dan seimbang. Ketiga, Libat sama Masyarakat: Memperkasakan Quintuple Helix untuk semua. Keempat, Kelestarian Kewangan: Membentuk kepelbagaian sumber dana dan amalan perbelanjaan berhemah, dan kelima, Pengiktirafan: Membentuk kesarjanaan berimpak yang membina kebitaraan ummah.

Melalui lima Teras Strategik ini, USIM menetapkan komitmen utama iaitu untuk mengukuhkan asas fundamental, merangka masa hadapan, memastikan keberdayasaingan dan kelestarian, serta mempromosikan inklusiviti.

Demi memastikan USIM kekal kompetitif dalam industri pendidikan tinggi, kualiti akademik amat dititikberatkan dan kurikulum pengajian dikemaskini agar kekal relevan sesuai dengan kehendak industri. Atas faktor ini juga, USIM berjaya mencatatkan peratusan kebolehpasaran graduan yang tinggi iaitu sebanyak 94.6 peratus pada tahun 2021.

Bertepatan dengan tema sambutan ulang tahun penubuhannya pada 18 Jun ini, “Melahirkan Muslim Profesional”, USIM menanam hasrat bertekad melahirkan lebih ramai graduan profesional yang kompeten dan berdaya saing selaras dengan teras strategik yang digariskan.

Meskipun bermula dengan hanya memfokuskan bidang pengajian Islam melalui penawaran tiga bidang pengajian iaitu Pengajian Syariah dan Kehakiman, Pengajian al-Quran dan al-Sunnah dan Pengajian Dakwah dan Pengurusan Islam, kini setelah 22 tahun penubuhannya, USIM menawarkan 91 program akademik meliputi peringkat Asasi, Sarjana Muda serta Siswazah. Bukan hanya melibatkan penawaran program yang beraliran Pengajian Islam sahaja, USIM juga mempunyai program-program akademik merentasi bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang, Kejuruteraan, Senibina, Pergigian, serta Perubatan dan Sains Kesihatan.

Kolej Genius Insan (KGI) yang ditubuhkan khas di USIM untuk melahirkan bakal ilmuan pemikir Islam yang agung berteraskan al-Quran dan al-Sunnah dari awal usia yang diperluaskan daripada Program Permata Negara juga menjadi medium awal untuk USIM melahirkan golongan Muslim profesional.

Fokus utama dalam program yang dirancangkan di bawah akademi ini adalah pembangunan modal insan di kalangan kanak-kanak berumur lapan tahun yang berkebolehan tinggi atau pintar memahami, mentafsir, menghafaz dan mengaplikasi al-Quran dan al-Sunnah dalam kehidupan serta menghubungkaitkannya dengan sains, teknologi, matematik dan sebagainya serta mampu membangunkan tradisi keilmuan Islam dan mencetuskan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi melalui kesepaduan ilmu Naqli dan Aqli.

Dengan kekuatan para pentadbir yang berpengalaman, kepakaran ahli akademik yang dimiliki, fasiliti yang lengkap, persekitaran yang kondusif serta jaringan industri yang kian meluas dan keterlibatan dalam siri-siri pertandingan inovasi terkemuka, mengukuhkan keberadaan USIM dalam arena pendidikan tinggi tanah air.

Genap usianya 22 tahun, USIM mampu berbangga apabila graduan profesional lepasan universiti ini masih mengekalkan acuan DNA USIM meskipun telah lama meninggalkan dunia kampus. – MalaysiaGazette