Home Seni Hidup Ada mangsa koma selepas langgar lembu berkeliaran – Sharim

Ada mangsa koma selepas langgar lembu berkeliaran – Sharim

Walaupun kes melanggar lembu bukan cerita baru di kawasan luar bandar di Pahang namun ia tidak boleh dipandang ringan.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Ada kes pengguna jalan raya koma selepas melanggar lembu berkeliaran atas jalan dan mangsa belum sedarkan diri sampai sekarang.

Itu cerita Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Sharim Md Zain mengaitkan bahaya yang dihadapi pengguna jalan raya akibat isu lembu berkeliaran yang mengakibatkan kemalangan yang mungkin membawa maut.

Walaupun kes melanggar lembu bukan cerita baru di kawasan luar bandar di Pahang namun ia tidak boleh dipandang ringan.

“Tiada laporan kemalangan jiwa direkodkan tapi terdapat satu kes penunggang motosikal iaitu penduduk tempatan telah melanggar lembu berkeliaran yang mengakibatkan dia koma dan mangsa masih belum sedar sampai sekarang,” jelas Sharim ketika ditemui hari ini.

Justeru tindakan penguatkuasaan oleh agensi terbabit sentiasa diambil untuk mencegah kemalangan membabitkan haiwan ternakan tersebut di kawasan Gugusan Felda Chini, Pekan, katanya.

Sharim menjelaskan, isu berkenaan telah diketengahkan kepada agensi penguatkuasaan sejak beliau menjadi wakil rakyat pada tahun 2020 lagi.

ADUN Chini, Sharim Md Zain (tengah) ketika mengadakan lawatan di sekitar Chini, Pekan hari ini.

Baru-baru ini, katanya, unit tangkapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang telah merampas lima ekor lembu di kawasan sepanjang jalan Chini – Chini Timur pada 19 Mei selepas tiga operasi penguatkuasaan yang dijalankan.

Menurut Sharim, tindakan berkenaan diambil selepas pemberitahuan notis kepada semua penternak di seluruh negeri melalui pengurusan Felda.

“Jabatan Veterinar juga telah agihkan notis kepada semua penternak untuk memberitahu denda boleh dikenakan sebanyak RM500 hingga RM2,000 bagi seekor lembu yang ditangkap berkeliaran dan membahayakan pengguna jalan raya” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut data dikeluarkan Balai Polis Chini, terdapat lapan laporan kemalangan yang diterima berkenaan isu terbabit sehingga 20 Jun lalu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis turut menyarankan pihaknya untuk meletakkan lebih banyak papan tanda amaran, pagar dan lampu jalan selain langkah-langkah pencegahan lain.

Ia selepas satu mesyuarat penyelarasan bersama agensi-agensi seperti Majlis Daerah Pekan (MDP), Pejabat Perkhidmatan Veterinar Pekan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengurusan Felda telah diadakan semalam.

Beliau juga berkata, pihaknya akan terus mengenal pasti para penternak dan kawasan ternakan hotspot untuk memastikan langkah-langkah pencegahan lembu berkeliaran dapat dilaksanakan.

“Kita mahu menggalakkan aktiviti penternakan daging lembu untuk ekonomi rakyat setempat tapi dalam masa sama kita cuba untuk melakukan secara sistematik dan mengikut peraturan,” katanya.

Justeru, beliau turut menasihati para penternak supaya berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri supaya aktiviti penternakan dapat terus djalankan dalam persekitaran yang betul.

Ia seterusnya dapat menjamin kesejahteraan penduduk setempat dan pengguna jalan raya lain yang sentiasa menggunakan jalan raya Chini – Chini Timur. – MalaysiaGazette