Home Nasional Disekat guna telefon, 4 remaja lari dari rumah kebajikan

Disekat guna telefon, 4 remaja lari dari rumah kebajikan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu.

KUANTAN – Empat remaja melarikan diri dari sebuah rumah kebajikan di Kampung Kempadang di sini ditemui di rumah bapa saudara salah seorang daripada mereka semalam.

Mereka dipercayai bertindak melarikan diri kerana tidak berpuas hati disekat menggunakan telefon oleh penyelia di rumah kebajikan itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, kehilangan keempat-empat remaja yang berusia 13 hingga 15 tahun itu disedari seorang penyelia asrama kira-kira pukul 12.30 pagi kelmarin.

Katanya, penyelia itu dimaklumkan oleh penghuni asrama lain mengenai kehilangan mereka melalui pintu belakang asrama dan usaha mencari mereka gagal.

“Hasil maklumat yang diperoleh, sepasukan anggota polis dari Unit Rondaan Jenayah (URJ) telah pergi ke sebuah rumah di Lorong Pak Mahat dan bertemu dengan seorang lelaki yang mengakui sebagai bapa saudara kepada sekumpulan remaja berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan mendapati, tiga daripada empat remaja berkenaan merupakan adik-beradik dan kesemua mereka berasal dari Pekan. – MalaysiaGazette