PUTRAJAYA- Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hari ini menarik balik rayuan mencabar kes saman fitnah terhadapnya di Mahkamah Persekutuan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan beliau mengenai perlakuan tidak bermoral, 14 tahun lepas.
Tiga panel hakim diketuai oleh Datuk Nallini Pathmanathan kemudian membatalkan dua permohonan berasingan Khairy yang juga Menteri Kesihatan yang sebelum ini telah memohon kebenaran mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada Februari.
Nalini turut mengarahkan Kahairy untuk membayar kos RM10,000 kepada Anwar.
Terdahulu ketika prosiding secara atas talian, peguam mewakili Khairy menawarkan kos RM2,000 untuk kedua-dua permohonan namun peguam mewakili Anwar, Datuk Seri Gopal Sri memohon kos itu ditetapkan sebanyak RM10,000 memandangkan pihaknya telah memfailkan afidavit membalas permohonan Khairy dalam dua pengurusan kes berasingan.
Untuk makluman, sebelum ini peguam mewakili Khairy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah menulis surat kepada Mahkamah Persekutuan untuk menarik balik permohonan bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada Februari.
Peguam Anwar, J Leela berkata, surat itu dihantar ke Pejabat Pendaftar mahkamah tertinggi dan salinannya dipanjangkan kepada mereka, selain mendedahkan peguam Khairy telah memohon untuk mengetepikan kos penarikan balik namun tidak dipersetujui pasukan Anwar.
Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan membenarkan saman fitnah dikemukakan Anwar dan memerintahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am.
Azizul turut menolak permohonan Khairy untuk meminda penyataan pembelaannya.
Khairy kemudian memfailkan rayuan pada Februari 2018, bagaimanapun ia ditolak Mahkamah Rayuan.
Pada 15 Disember tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy supaya merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan.
Anwar, yang juga Presiden PKR, menyaman Khairy yang ketika itu sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, pada 7 Mac 2008 dengan mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat‘ disiarkan di portal berita. -MalaysiaGazette