‘‘TANGAN yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia”. Pepatah ini sering dikaitkan dengan golongan wanita. Ia membawa maksud walaupun wanita sering dikaitkan dengan sifat lemah-lembut dan keibuan, namun mereka mampu menyumbangkan tenaga dan idea dalam pembangunan negara. Kebiasaannya, wanita berperanan sebagai ibu, isteri, anak perempuan, kakak dan adik perempuan dalam sesebuah institusi keluarga.
Walaubagaimanapun, peranan ini berubah seiring dengan peredaran masa dan zaman. Kaum wanita sudah mula melibatkan diri dalam sektor pekerjaan. Namun, penyertaan kaum wanita dalam tenaga kerja ini tidak sedikit pun mengurangkan tanggungjawab dan peranan mereka sebagai ibu, isteri, dan pengurus rumahtangga.
Penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan ini haruslah diraikan. Rentetan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memilih 'Saksama Bersama' sebagai tema sambutan Hari Wanita 2022 yang lepas. Pilihan tema ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita dapat diupaya dan dioptimumkan demi menyediakan masa depan negara yang mampan.
Ia juga selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu 'Gender Equality Today for A Sustainable Tomorrow'. Tema ini juga disesuaikan dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.
Wanita merupakan tulang belakang keluarga yang menjadi asas kepada pembangunan negara. Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pencapaian wanita amat membanggakan dalam sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.059 dan sub-indeks kesihatan dan kehidupan yang mencatatkan skor 0.956.
Manakala, bagi sub-indeks peluang dan penyertaan ekonomi, Malaysia mempunyai skor 0.738 manakala untuk sub-indeks Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB), skor negara masih rendah iaitu 55.3 peratus pada 2020 jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura pada 69.7 peratus dan Thailand pada 66.8 peratus.
Kesaksamaan gender di negara ini dilihat masih agak jauh untuk dicapai. Hingga kini masih terdapat diskriminasi gender dalam kebanyakan sektor di Malaysia. Dalam alam pekerjaan, masih wujud diskriminasi gender di tempat kerja. Kaum lelaki lebih mempunyai peluang yang cerah dalam mendapatkan pekerjaan. Ada kalanya, gaji yang diterima terutamanya di sektor swasta adalah lebih rendah berbanding kaum lelaki yang menjalankan tugas yang sama.
Penyertaan mereka juga dalam sektor ekonomi masih rendah. Wanita di tempat kerja juga masih berisiko menghadapi pelbagai gangguan termasuklah gangguan seksual. Selain itu, isu keganasan rumahtangga juga dilihat semakin meningkat pasca pandemik Covid-19. Hal ini dapat dilihat daripada meningkatnya bilangan panggilan ke talian Kasih melibatkan pelbagai isu rumahtangga. Namun begitu, jika dibandingkan tahun-tahun terdahulu, masyarakat dan pemimpin kini lebih terbuka dan mula sedar berkaitan isu diskriminasi gender ini.
Kini, penglibatan wanita dalam pelbagai sektor dilihat semakin ketara dan isu penganiayaan dan diskriminasi terhadap kaum wanita sering mendapat perhatian. Konklusinya, isu melibatkan diskriminasi gender ini haruslah dipandang serius dan tidak seharusnya dipandang enteng. Hal ini kerana ia akan menjejaskan tahap kesejahteraan kendiri kaum wanita yang seterusnya boleh menjejaskan tahap kesihatan mental mereka. Ia juga akan menyebabkan produktiviti kaum wanita menurun.
Sekiranya, para wanita di Malaysia ini kurang bahagia dan tidak gembira, kesejahteraan keluarga akan terganggu, masalah sosial akan meningkat dan seterusnya mengganggu keamanan dan pembangunan negara. Dalam mengurangkan isu diskriminasi gender, ia memerlukan suatu pembaharuan dasar dan kesungguhan serta komitmen yang tinggi daripada pelbagai pihak. Wanita seharusnya mempunyai hak untuk mendapat layanan sama rata dan diberikan ruang dan peluang untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia