Home Dunia Ikan pari seberat 300kg ditemui di Sungai Mekong

Ikan pari seberat 300kg ditemui di Sungai Mekong

Ikan pari yang ditemui nelayan di Sungai Mekong baru-baru ini. Foto Wonders of the Mekong,

PHNOM PENH – Ikan pari seberat 300 kilogram (kg) yang ditangkap di Sungai Mekong di Kemboja adalah ikan air tawar terbesar yang pernah didokumenkan, kata saintis.

Ia menyingkirkan pemegang rekod sebelumnya, ikan keli gergasi Mekong seberat 293kg yang ditangkap di Thailand pada 2005.

Tiada rekod atau pangkalan data rasmi bagi ikan air tawar terbesar di dunia.

Mekong kaya dengan biodiversiti tetapi tangkapan ikan yang berlebihan, empangan dan pencemaran mengancam ekosistemnya.

Ia mengalir dari Dataran Tinggi Tibet melalui China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.

“Dalam 20 tahun meneliti ikan gergasi di sungai dan tasik di enam benua, ini adalah ikan air tawar terbesar yang kami temui atau yang telah didokumenkan di mana-mana di seluruh dunia,” kata Zeb Hogan, ahli biologi yang mengetuai Wonders of the Mekong, projek pemuliharaan yang dibiayai.

Pada 13 Jun lalu, seorang nelayan tempatan di Pulau Koh Preah menelefon penyelidik untuk memberitahu dia telah menangkap ikan pari yang “sangat besar” – berukuran panjang 3.98 meter dan lebar 2.2 meter.

Selepas dipasang dengan tag akustik untuk menjejaki pergerakan masa depan, ikan pari itu dilepaskan semula ke dalam sungai.

Ia hilang ke dalam perairan berlumpur Mekong sekitar senja apabila bulan penuh, kata Dr Hogan. – BBC