Home Politik Imej UMNO berdepan PRU-15 bergantung keputusan kes rasuah Zahid

Imej UMNO berdepan PRU-15 bergantung keputusan kes rasuah Zahid

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika bercakap pada sidang media mengenai mendesak siasatan menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi pelaksanaan Projek 5G Kebangsaan oleh Digital NasionalBerhad (DNB) di Wisma TV Radio Televisyen Malaysia Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Imej UMNO di mata rakyat dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bergantung kepada keputusan perbicaraan kes rasuah presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin bagaimanapun berkata, jika bekas Timbalan Perdana Menteri itu didapati tidak bersalah, imej parti Melayu itu berkemungkinan semakin baik dan dipercayai rakyat.

“Kalau mahkamah kata Datuk Zahid tak bersalah, mungkin nama kita (UMNO) bagus betul tak. Jadi kita tak tahu lagi, kes ini masih dibicarakan.

“Saya harap kita UMNO kita berdoa supaya presiden kita selamat, didapati tak bersalah.

“Kita semua nak jalan yang terbaik supaya pilihan raya kali ini kita masuk dengan keadaan kita bersih, UMNO ini bersih dan diterima oleh rakyat,” katanya pada sidang media di Wisma TV RTM, Angkasapurihari ini.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Sementara itu, Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia senada dengan desakan Ahmad Zahid sebelum ini yang mahu supaya PRU-15 disegerakan.

“Lagi awal (PRU-15), lagi bagus,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, UMNO akan memilih waktu yang terbaik untuk menyegerakan pilihan raya dari segi ekonomi, kestabilan politik dan penerimaan rakyat.

“Kita nak tengok keadaan, masa yang terbaik, kalau kita kata sedia, kita nak cepat, contohnya rakyat terima kita sekarang, ekonomi negara pun okay.

“Kita lihat Bajet pada Oktober ini cantik, mungkin lepas bajet pun cantik, duit pun ada, rakyat berpuas hati dengan kepimpinan UMNO, kita buat pilihan raya cepatlah.

“Apa pun kita serah kepada MKT UMNO atau Top 5 akan buat keputusan, kita hanya beri cadangan saja, kita hanya boleh syorkan, apa pun isu yang melibatkan rakyat, kita tahu tak mahu ia beri kesan kepada pilihan raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette