Home Rencana Normalisasi LGBT melalui kartun melawan fitrah

Normalisasi LGBT melalui kartun melawan fitrah

Simptom cacar monyet yang dikaitkan dengan seks bebas. Foto thewatchdog.news

ANAK merupakan kain putih yang bakal dicorakkan oleh didikan ibu bapa. Indah didikannya, indahlah akhlaknya, dan sebaliknya. Tidak dinafikan ada juga yang dididik dengan baik pada waktu kecil yang berubah menjadi buruk bila meningkat
dewasa, ada juga yang tidak mendapat didikan yang sempurna daripada ibu bapa tetapi berjaya menjadi insan yang bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.

Anak-anak merupakan span yang menyerap apa jua yang diberikan kepada mereka. Amat penting bagi kita ibu bapa untuk memastikan apa yang diterima oleh mereka pada awal usia ini merupakan yang terbaik untuk mereka. Anak merupakan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada manusia yang lahir daripada hubungan perkahwinan yang suci antara seorang lelaki dan seorang wanita.

Seorang anak adalah pengikat kasih sayang di antara bapa dan ibu dan seharusnyalah anugerah ini dijaga dengan rapi sepertimana kita menjaga barang perhiasan yang mahal. Tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar memberi makan dan pakai semata-mata malah perlu mendidik, mengajar, mengasuh dan memberikan hak seseorang itu sebagai seorang anak.

Oleh kerana itu, kita perlu mendidik anak dengan landasan agama mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Pencipta. Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan pelbagai program yang dianjurkan oleh golongan LGBT. Mereka membuat pelbagai program bagi memastikan hak asasi mereka dihalalkan oleh semua pihak. Yang menjadi kerisauan adalah bukan sahajaprogram tersebut dijalankan dalam golongan yang sama malah turut menggalakkan lebih ramai pihak untuk turut serta.

Di negara barat terutamanya negara-negara Eropah, mereka telah menghalalkan perkahwinan sesama jenis, membenarkan penduduk mereka menukar jantina, menyamakan antara yang berbeza jantina serta memasukkan anasir ini ke dalam sekolah. Terdapat juga bendera yang melambangkan pegangan mereka dipasang di bangunan-bangunan kerajaan, bangunan sekolah dan pelbagai bangunan di seluruh Eropah.

Pesta arak dan seks berlaku secara meluas tanpa ada segan dan silu. Budaya ini bukan sahaja berada di negara barat malah telah berleluasa ke seluruh dunia termasuk negara negara Asia dan Malaysia sendiri. Alangkah sedihnya bila anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah ini didedahkan dengan aksi-aksi lucah dan tidak bermaruah dalam rancangan yang sepatutnya menjadi hiburan kepada mereka.

Pendedahan kepada perlakuan yang lucah, bahasa yang kasar dan mencarut, hubungan songsang dan sama jenis perlu dipantau bagi mengelakkan normalisasi di kalangan anak-anak. Pendedahan yang terlalu awal tanpa penerangan yang jitu daripada ibu bapa mampu mencorakkan minda anak-anak kepada gejala yang tidak diingini.

Ajaran Islam turut membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan yang sebegini seperti ayat di dalam al-Quran yang bermaksud, “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, dan kamu tinggalkan apa yang
diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yagn bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan).” (Surah as-Syuara: 165-
166).

Dalam bidang perubatan juga terdapat pelbagai kesan yang negatif yang berpunca daripada gejala yang menentang fitrah semula jadi manusia ini. Selain daripada masalah penyakit bawaan seks seperti HIV dan sifilis, masalah terkini yang banyak melibatkan golongan male-sex-male (MSM) iaitu cacar monyet juga turut berleluasa.

Bukan sahaja ia mengakibatkan jangkitan dalam kalangan pengamal seks bebas itu sendiri, malah boleh menjangkitinya kepada pasangan heterosexual seperti isteri di rumah dan anak dalam kandungan serta sesiapa sahaja yang digaulinya. Perkara ini
jelas mengakibatkan masalah kesihatan yang berpotensi membebankan sistem kesihatan yang ada.

Marilah kita sama-sama membantah sekeras-kerasnya daripada budaya LGBT ini masuk ke dalam Malaysia. Perkara ini jika tidak dibanteras dari akar umbi lagi, akan menjadi barah serta merosakkan institusi kekeluargaan dan agama di Malaysia. Sayangilah anak anak kita, kita satu Malaysia.

Oleh: Dr Jannatul Madihah Abu Bakar,
Setiausaha WARAK PAPISMA &

Prof Madya Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Pergigian USIM