KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan menyeluruh terhadap Digital Nasional Berhad (DNB) dalam memastikan Projek Rangkaian Mudah Alih Generasi ke-5 (5G) telus dan wujud transperansi.
Exconya, Fairuz Jamaluddin berkata, ia susulan peningkatan kos rangkaian 5G yang bermula RM11 bilion kini boleh meningkat kepada RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun pembangunannya berdasarkan harga jualan DNB.
Beliau melahirkan kebimbangan sekiranya ia tidak dikekang, kelak kos perkhidmatan 5G yang dikenali beberapa syarikat telco terpaksa ditanggung rakyat pada harga yang tinggi.
“Kenaikan kos begitu tinggi dan mendadak memerlukan penjelasan yang terperinci dan telus dengan segera. Adakah beban hutang dan kos tinggi akan ditanggung oleh rakyat?
“Ia bagi memastikan objektif pelaksanaan 5G Kebangsaan dapat dicapai dan melindungi kepentingan nasional dan kesejahteraan rakyat jelata.
“Sebelum nasi menjadi bubur, Pemuda UMNO Malaysia tidak mahu wujud lagi skandal korporat yang besar dan boleh merosak reputasi Malaysia di mata dunia,” katanya pada sidang media di Wisma TV RTM Angkasapuri, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin agar isu DNB dibawa ke Parlimen dan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Pemuda juga telah membuat laporan kepada Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini susulan pelaksanaan projek 5G Kebangsaan melibatkan kepentingan dan dana awam.
“Pegawai SPRM yang menerima memorandum ini beranggapan laporan Pemuda UMNO ini berkepentingan awam.
“Langkah pencegahan perlu dilakukan kerana kos terlalu tinggi hingga membebankan rakyat kelak,” katanya.
Tambahnya, siasatan perlu dilakukan segera kerana kredibiliti, integriti dan kepakaran DNB serta pelantikan Ralph Marshall sebagai ketua pegawai eksekutifnya yang dikaitkan dengan jenayah rasuah di India dipersoalkan.
“Sehingga hari ini, tiada lagi jawapan yang tuntas daripada DNB atau Kerajaan Malaysia tentang isu pelantikan Augustus Ralph Marshall.
“Ralph Marshall pernah disiasat dan didakwa oleh Biro Penyiasatan Pusat (CBI) India melibatkan skandal kes jenayah rasuah Aircel-Maxis pada 2011,” katanya.
Selain itu, pemilihan Ericsson sebagai kontraktor utama juga memberi indikasi tidak baik kerana didapati bersalah melanggar Foreign Corrupt Practices Act (FCPA) di Amerika Syarikat pada 2019 dan terpaksa membayar penalti sebanyak RM 4.4 Bilion.
“Bagi mengelakkan sebarang persoalan tentang ketelusan di DNB, ini adalah jalan terbaik di mana SPRM dapat memastikan tidak ada isu ketirisan dan menghalang isu rasuah ini dari awal.
“Kerajaan Malaysia wajib mengambil langkah mencegah dan berhati-hati di dalam pengurusan aset negara yang berpotensi kehilangan wang berbillion ringgit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette