Home Politik PKR tidak akan berbincang, bekerjasama dengan pengkhianat

PKR tidak akan berbincang, bekerjasama dengan pengkhianat

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR semalam memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, PKR juga tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Azmin mahupun mana-mana pihak yang pernah mengkhianati parti itu.

“MPP memutuskan bahawa PKR tidak akan berbincang atau bekerjasama dengan Azmin Ali, yang dianggap oleh anggota, penyokong parti serta orang ramai sebagai salah satu punca utama berlakunya pengkhianatan Langkah Sheraton,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan bahawa Azmin ada membuat pertemuan dengan dua wakil daripada PKR.

Pertemuan tersebut didedahkan oleh beberapa  pemimpin kanan PKR namun enggan dinamakan.

Pertemuan itu didakwa dibuat di Hotel Sheraton, di lokasi sama percaturan Langkah Sheraton dilaksana mengakibatkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan memerintah Putrajaya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, keputusan berhubung Pemilihan 2022 akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi setelah selesai seluruh proses aduan dan audit.

“Saf kepimpinan baharu ini perlu bergerak pantas, sederap dan dalam satu pasukan yang kukuh bagi menghadapi musuh-musuh politik Keadilan pada Pilihan Raya Umum ke-15,” jelas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi.

Tambahnya, PKR akan meneruskan Kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR yang akan diadakan pada 15 Julai depan.

Selain itu, Kongres Nasional juga akan diteruskan pada 16 dan 17 Julai bertempat di IDEAL Convention Centre (IDCC) Shah Alam.

“Kongres kali ini akan menumpukan kepada kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi PRU-15 serta pembubaran Parlimen yang boleh berlaku pada bila-bila masa selepas 31 Julai,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette