Home SISWA PLUMS perkenal pengambilan pengajian secara terus ke UMS

PLUMS perkenal pengambilan pengajian secara terus ke UMS

Suasana persekitaran UMS

KOTA KINABALU – Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS) memperkenalkan satu saluran terus untuk mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) secara sepenuh masa khususnya untuk mereka yang tidak mendapat tempat dalam permohonan melalui UPU.

Menurut kenyataan PLUMS, program tersebut yang dikenali sebagai Saluran Terbuka Universiti Malaysia Sabah (SATUMS) dibuka kepada calon-calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma, Matrikulasi dan lepasan Asasi.

”Saluran ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat dalam dan luar negara yang memiliki kelayakan akademik ke pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian), sekali gus merealisasikan usaha ke arah melahirkan warga generasi yang berpendidikan.

”Kaedah pembelajaran SATUMS adalah sama seperti pelajar yang melanjutkan pengajian melalui UPU iaitu dilaksanakan secara sepenuh masa pada hari bekerja,” demikian menurut kenyataan tersebut hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, syarat-syarat kemasukan bidang program yang dipohon adalah merangkumi syarat am dan syarat khas yang telah ditetapkan.

Permohonan boleh dibuat lebih awal dengan melayari laman sesawang rasmi PLUMS di https://www.ums.edu.my/plums/, manakala kemasukan dan pendaftaran SATUMS akan dilaksanakan pada bulan September setiap tahun.

PLUMS juga mempelawa dan menawarkan ganjaran istimewa kepada warga alumni, kakitangan dan tanggungan kakitangan UMS melanjutkan pengajian di sini, dengan rebat istimewa sebanyak 10% khususnya program-program di bawah kendalian pusat ini,” jelas kenyataan itu.

Untuk rekod, PLUMS merupakan salah satu Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UMS yang mengendalikan program-program berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat (PSH). Pada ketika ini, terdapat empat pusat pembelajaran PLUMS iaitu di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Wilayah Persekutuan Labuan. – MalaysiaGazette