Home Nasional Program Dermasiswa B40 TVET wujudkan masyarakat berdaya saing, kurangkan jurang

Program Dermasiswa B40 TVET wujudkan masyarakat berdaya saing, kurangkan jurang

Nor Hizwan Ahmad, the Political Secretary of the Minister of Housing and Local Government Zuraida Kamaruddin
Nor Hizwan Ahmad

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Program Dermasiswa B40 Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan dapat mengurangkan jurang di antara golongan berkemampuan dan sebaliknya.

Program itu juga akan mewujudkan masyarakat yang lebih berdaya saing.

Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM) Nor Hizwan Ahmad berkata, parti itu mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa Kerajaan akan menawarkan Program Dermasiswa B40 (TVET) untuk pelajar B40 melanjutkan pelajaran teknikal dan vokasional.

“PBM percaya langkah itu bukan sahaja dapat membantu golongan B40 memutuskan kitaran kemiskinan, malah ia juga dapat mengurangkan jurang antara golongan berada dan tidak berada dalam negara untuk mewujudkan masyarakat yang lebih saksama dan berdaya saing,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan Program Dermasiswa B40 TVET khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang tersebut di institusi pengajian tinggi awam bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun ini.

Jelasnya, program itu dilaksanakan bagi meningkatkan motivasi dan galakan kepada pelajar untuk memilih bidang TVET dengan membabitkan seramai 1,000 pelajar bagi pengambilan pertama.

Mengulas lanjut, Nor Hizwan berkata, masyarakat perlu mengubah minda terhadap Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dilihat sebagai pendidikan kelas kedua.

Menurut beliau, golongan muda perlu digalakkan untuk memilih TVET kerana ia berpotensi tinggi dalam pasaran kerjaya seterusnya membawa pembangunan pesat kepada negara.

“Hakikatnya, latihan teknikal dan vokasional (TVET) hari ini tidak lagi dianggap sebagai landasan pendidikan kelas kedua. Di banyak negara maju seperti Jepun dan Jerman, TVET ialah pilihan utama untuk pelajar,” katanya lagi.

Jelasnya, graduan TVET dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada tenaga kepakaran teknikal kepada negara.

“Apabila pelajar TVET ini menamatkan pengajian, mereka bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pendapatan keluarga mereka, mereka juga akan dapat menyumbang secara bermakna kepada negara melalui kepakaran teknikal dan vokasional mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette