Home Utama Saya kena kanser kali kedua selepas disoal siasat SPRM – Ibu Syed...

Saya kena kanser kali kedua selepas disoal siasat SPRM – Ibu Syed Saddiq

GAMBAR FAIL. Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalam dengan ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz yang hadir untuk memberi sokongan selepas bekas Menteri Belia dan Sukan itu dijangka akan didakwa berhubung penyelewengan berjumlah lebih RM1 juta wang peruntukan sebuah parti politik di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Ibu Ahli Parlimen Muar, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz mendedahkan beliau disahkan mengidap kanser kali kedua oleh doktor pada Julai 2020 selepas selesai  memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan ke atas anaknya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bekas guru itu berkata, penyakit itu kembali gara-gara tekanan yang dihadapi apabila berdepan pelbagai soalan daripada Pegawai Penyiasatan SPRM yang disifatkannya begitu menakutkan.

Jelas beliau, ini kerana pertama kali dia berdepan pengalaman sedemikian walaupun layanan diberikan baik namun penerimaan setiap individu berbeza ketika sesi itu dijalankan.

“Saya memang tertekan sampai kena kanser kali kedua pada Julai 2020 akibat tekanan yang dihadapi. Macam-macam soalan ditanya hingga duit keluar masuk di dalam akaun dan dari mana sumber kewangan saya selain gaji seorang guru.

“Saya beritahu buat kelas tuisyen sudah lama sebagai salah satu sumber kewangan dan mereka (pegawai penyiasat) cakap dalam gurauan perlu kena cukai namun saya beritahu sudah mohon dengan jabatan,” katanya sebagai saksi ketiga hari pertama kes perbicaraan Syed Saddiq di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Syed Saddiq yang juga pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kini berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Armada Bersatu berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi.

Kes itu didengar di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid di mana seramai 40 saksi akan dipanggil pada perbicaraan kes itu.

Saksi lain yang selesai memberikan keterangan hari ini adalah Pegawai Penyiasat SPRM, Muhamad Taufik Awaluddin dan bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff.

Sementara itu, Sharifah Mahani turut berkongsi pengalaman disiasat dengan mendakwa  menerima ugutan antaranya tidak akan mendapat pencen guru walaupun selepas 38 tahun dalam perkhidmatan.

Malah beliau juga memberitahu, selain suami, anak-anaknya yang lain di Johor Bahru turut diganggu oleh SPRM walaupun mereka baru bekerja dan memiliki pinjaman bank membeli rumah.

“Terus terang mereka (pegawai SPRM) baik-baik belaka dan hanya melaksanakan tugas namun soalan-soalan tuisyen dan gaji adalah menakutkan seperti ugutan dan buat silap, saya tidak dapat pencen walaupun sudah kerja hampir 38 tahun.

“Malah gangguan turut melibat anak-anak yang lain di Johor Bahru yang baru kerja dan rumah masih dalam pinjaman bank. Saya tidak pernah alami pengalaman seperti ini,” katanya.

Ketika disoal balas peguam bela, Gobind Deo, Sharifah Mahani memberitahu beliau tidak pernah mencampuri urusan politik anaknya sebelum ini.

Namun beliau sentiasa menyokong dan menghormati keputusan Syed Saddiq yang menyokong mana-mana pihak atas dasar berani kerana benar.

Bagaimanapun beliau percaya anaknya itu menjadi mangsa politik berikutan bayangan yang diberikan ketika disoal jawab oleh SPRM.

“Secara jujur, saya tidak diberitahu namun dalam nada bergurau mereka (pegawai SPRM) kata lebih bagus ikut kerajaan sedia ada supaya saya dan suami tidak disiasat lagi. Itu yang buat saya sentap dan terasa hati.

“Sebagai ibu yang sayang pengorbanan, anak saya menjadi mangsa politik dan kalau kehendak tidak dituruti sama ada libat undi dan keputusan diambil, anak saya selalu nasihat agar saya berhati-hati.

“Saya akan kena siasat dan lepas itu SPRM memang panggil saya. Mereka (pegawai SPRM) tidak sebut kerajaan Tan Sri Muhyiddin dan cuma sebut kerajaan ketika itu dan saya setuju Muhyiddin adalah perdana menteri ketika itu,” katanya. – MalaysiaGazette