Home Politik Senarai calon sudah ada dalam kepala tapi formal belum lagi

Senarai calon sudah ada dalam kepala tapi formal belum lagi

Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Senarai calon Barisan Nasional (BN) Pahang bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) belum ditentukan walaupun persiapan jentera parti sudah pun bermula sekarang.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail belum berhasrat untuk menyenaraikan nama-nama calon di negeri itu buat masa ini.

“Dalam kepala ada, secara terang-terang formal belum lagi, saya belum fikir lagi. When times come, we cross the bridge,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau yang Menteri Besar Pahang berkata demikian ketika ditanya sejauh mana persiapan BN di negeri itu bagi mendepani PRU -15.

Bagaimanapun, menurut Wan Rosdy, BN Pahang sentiasa bersiap sedia dan tidak menanti saat akhir bagi mengatur gerak kerja.

“Jentera BN Pahang sentiasa bersiap sedia menghadapi bila-bila masa sahaja bagi menghadapi PRU-15. Kita sentiasa bersiap sedia.

“Sebelum ini, kita lancar jentera IT untuk Puteri UMNO dan  sebelum itu saya di Maran melancarkan Jentera BN. Kita tidak menunggu di saat akhir,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menganggap perubahan dalam nama kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah perkara biasa ketika proses penamaan calon mewakili parti ketika pilihan raya.

Wan Rosdy berkata, perubahan adalah proses biasa dilakukan  berikutan tiada  nama yang kekal dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) negara.

“Jika ada perubahan dalam kerusi proses biasa, mesti ada perubahan-perubahan, itu adalah proses biasa. Kalau tengok sejarah pilihan raya kita ada 42 kerusi, tidak  pernah ada yang kekal, tidak pernah lagi.

“Saya sudah bertanding empat kali sejak tahun 2004,” katanya ketika menjelaskan senario berkenaan. – MalaysiaGazette