Home Nasional Wanita Korea Selatan tipu tiket penerbangan didakwa esok

Wanita Korea Selatan tipu tiket penerbangan didakwa esok

Seorang warga Korea Selatan yang ditahan polis pada Mei lalu kerana disyaki mendalangi kegiatan penipuan tawaran tiket penerbangan ke Korea Selatan akan diheret ke mahkamah esok. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang warga Korea Selatan yang ditahan polis pada Mei lalu kerana disyaki mendalangi kegiatan penipuan tawaran tiket penerbangan ke Korea Selatan akan diheret ke mahkamah esok.

Wanita berusia 38 tahun yang merupakan suspek utama kes berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pukul 10 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Cheras atas dakwaan melakukan penipuan tawaran tiket penerbangan ke negara Korea.

Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh tidak kurang dari satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Suspek juga akan menghadapi pilihan pertuduhan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau denda kedua-duanya.

Sebelum itu, pada 24 Mei lalu, wanita berkenaan telah diberkas bersama seorang lagi suspek lelaki seusianya kerana dipercayai telah memperdaya orang ramai menerusi laman sosial Kakao Talk untuk mendapatkan tiket penerbangan ke negara Korea sebelum ditahan pada 21 Mei lalu di Tanjung Aru, Sabah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Mat Din berkata, mangsa telah memasukkan wang sejumlah RM10,200 ke akaun milik syarikat suspek bernama Apsan Travel & Tour pada awal bulan Mei 2022.

“Namun, selepas pembayaran selesai dibuat mangsa, suspek gagal dihubungi serta tiada sebarang maklum balas tentang penempahan tiket penerbangan tersebut seperti dijanjikan menerusi laman sosial.

“Polis telah menerima 20 laporan berhubung penipuan sedemikian membabitkan kedua-dua suspek itu dengan kerugian bernilai RM233,954,” katanya.

Penipuan itu diiklankan di laman web http://cafe.naver.com/mymalaysia yang memaparkan iklan penjualan tiket penerbangan didakwa dikendalikan syarikat Apsan Travel and Tour Sdn Bhd.

“Mangsa membeli tiket penerbangan yang diiklankan kerana tertarik dengan tawaran harga yang lebih murah berbanding harga pasaran. Namun setelah pembayaran dibuat, mangsa gagal memperoleh tiket penerbangan yang dibeli,” katanya.

Malahan modus operandi suspek menyasarkan rakyat negara berkenaan yang mahu pulang ke negara asalnya sebelum menyedari ditipu suspek yang telah membuka akaun bank atas nama agensi pelancongan palsu.

Kebanyakan mangsa ditipu bukan sekadar di Sabah sahaja malah turut membabitkan dari Kuala Lumpur dan Johor.- MalaysiaGazette