KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersedia untuk disiasat berhubung dakwaan beliau menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), sebuah syarikat yang terbabit dalam perbicaraan rasuah melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya tidak mengetahui apa pun berkaitan perkara yang telah disebut di mahkamah baru-baru ini. Sekiranya mereka ingin memanggil saya bagi melakukan siasatan, seperti kebiasaan sebelum ini – saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa,” katanya menerusi Twitter.
Beliau mengulas kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan menyiasat mereka yang dinamakan dalam lejar yang disimpan oleh bekas pengurus UKSB.
Seorang saksi penting dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid ketika memberi keterangan berkata, selain Ahmad Zahid, ahli politik lain juga telah menerima dana daripada UKSB termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Lejar UKSB yang dikemukakan di mahkamah turut menyebut Hishammuddin, bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman; bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Mahkamah Tinggi Shah Alam juga turut dimaklumkan, Ketua Bahagian UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin turut menerima sumbangan dana dari syarikat itu tetapi tidak diberi secara terus kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Setakat ini, Muhyiddin, Anifah, Reezal dan Khairy telah menafikan dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette
Muhyiddin, Khairy, Anifah and Reezal have since denied receiving any funds from UKSB.