Home Nasional Johor sasar tingkat pengeluaran durian dalam tempoh lima tahun

Johor sasar tingkat pengeluaran durian dalam tempoh lima tahun

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani & Kemajuan Luar Bandar johor, Datuk Zahari Sarip.

ISKANDAR PUTERI – Johor menyasarkan peningkatan pengeluaran buah durian sebanyak 141, 862 matrik tan pada jangka tempoh lima tahun akan datang.

Jumlah itu melibatkan peningkatan sebanyak 13.47 peratus, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani & Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.

Menurutnya, pada tahun lalu sahaja, Johor telah mengeluarkan sebanyak 121,898 matrik tan buah durian melibatkan 31, 255 orang pengusaha dengan keluasan keseluruhan seluas 19, 171 hektar.

“Untuk melonjakkan usaha meningkatkan industri durian, Jabatan Pertanian melalui Bahagian Pembangunan Industri Tanaman yang berpusat di Ayer Hitam telah mengeluarkan anak benih durian bernilai tinggi sejak tahun 2016 lagi iaitu sebanyak 5,000 anak pokok setiap tahun.

“Jumlah pengeluaran ini telah dipertingkatkan kepada 20,000 anak pokok pada tahun 2019 di bawah inisiatif Sumber Rezeki Baharu,”  katanya di Mesyuarat Ke-2 Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Ng Kor Sim (Jementah- DAP) mengenai rancangan kerajaan negeri untuk memperkembangkan industri pemprosesan buah- buahan di kawasan Jementah.

Zahari berkata, Program Tanam Semula Buah-Buahan Terpilih akan diteruskan dengan memberi fokus kepada penggantian durian kampung kepada varieti premium seperti D197 (Musang King) dan D168 (IOI) sama ada secara cantuman dewasa ataupun sulaman bagi kawasan kebun di bawah lima hektar.

Johor juga, katanya, berjaya menghasilkan pengeluaran  669,760 matrik tan buah-buahan membabitkan tujuh jenis buah-buahan yang menjadi keutamaan yang melibatkan buah betik, nanas, nangka, pisang, tembikai, kelapa dan durian dengan keluasan keseluruhannya seluas 56, 084 hektar pada tahun lalu.

Kesemua jumlah itu melibatkan penglibatan sebanyak 59, 619 pengusaha.

“Sehubungan itu, ia akan menjadi salah satu keutamaan dalam Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor dalam usaha untuk mengekalkan success story tersebut dan bagi memperkasakan lagi pengeluaran komoditi buah-buahan termasuklah buah-buahan jangka panjang terutamanya buah durian selain daripada untuk meningkatkan Kadar Sara Diri (SSL) negara, tumpuan bagi pengeluaran buah-buahan.

“ini juga adalah untuk tujuan aktiviti pemprosesan makanan dan bekalan eksport ke luar negara. Untuk makluman, Johor juga merupakan pengeluar buah durian dan daerah yang paling banyak mengeluarkan durian adalah Daerah Tangkak,” katanya.

Zahari berkata, benih- benih tersebut telah diagihkan kepada para petani seluruh negeri Johor termasuk di Segamat dan Jementah.

Bagi memperkembangkan industri pemprosesan buah-buahan di termasuklah kawasan Jementah, usahawan akan dibantu daripada pelbagai segi termasuk pembangunan kawasan sedia ada selain pembersihan dan penyediaan kawasan.- MalaysiaGazette