KUALA LUMPUR – Seorang wanita mengandung lima bulan yang dipercayai gagal mengawal kenderaannya terbabas ke tebing jalan di kawasan Taman Putra Perdana dekat sini hari ini.
Bagaimanapun mangsa yang berusia 29 tahun itu terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam insiden itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, bilik gerakan pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pukul 8.43 pagi tadi.
“Bertindak atas panggilan itu, sepasukan anggota bomba terdiri daripada 8 orang dengan sebuah jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya bergegas ke lokasi kemalangan sebelum sampai di tempat kejadian pukul 9 pagi.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati memang berlaku kemalangan yang mana membabitkan sebuah kereta Honda City berwarna hitam yang dipandu seorang wanita tempatan terbabas ke tebing jalan berketinggian dua meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, wanita itu selamat dikeluarkan daripada kereta terbabas itu oleh orang awam sebelum pasukan bomba sampai di lokasi kemalangan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa berada dalam keadaan terkejut susulan insiden itu dan telah dirujuk ke Hospital Putrajaya menggunakan jentera bomba EMRS,” tegasnya.-MalaysiaGazette