KUALA LUMPUR – “Jangan main tarik tali dalam memberikan maklumat sekiranya menjadi mangsa penipuan”.
Itu pesanan mesra Pengurus Bank Negara Malaysia Telelink, Jabatan Link dan Pejabat BNM, S. Vijayadurai yang kecewa dengan sikap mangsa penipuan dalam talian kerana didakwa tidak ikhlas berkongsi insiden bagi membolehkan bantuan dihulurkan.
Katanya, kebanyakan individu yang menjadi mangsa penipuan scam rasa malu untuk muncul mendedahkan maklumat.
“Anda perlu bersikap telus dan ikhlas dengan kita.. ramai yang datang kepada kami (BNM) meminta nasihat tetapi apabila disuruh menceritakan perkara sebenar, mereka suka main tarik talik..memberi maklumat sedikit tanpa menyeluruh.
“Sikap tidak berterus terang ini menyulitkan kita untuk mengambil tindakan selanjutnya untuk membantu mangsa,” katanya yang hadir sebagai panalis sesi Townhall Avoid Online Scam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina 2 Kepong di sini petang tadi.
Selebriti terkenal Datuk Rosyam Nor dan juga Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman menjadi moderator majlis itu.
Beliau menasihatkan, individu yang menjadi mangsa penipuan agar memberi maklumat menyeluruh supaya pihak berkuasa dapat mengambil kaedah membantu menyelesaikan masalah tersebut.
S. Vijayadurai menjelaskan, sebarang bentuk pelaburan yang dijanjikan keuntungan dengan angka luar biasa iaitu 10 peratus adalah satu petanda bahaya dan bakal menjerat mangsa.
Menurutnya, setiap pelaburan pastinya ada untung dan rugi manakala jaminan pulangan 10 peratus untung perlu difikirkan secara logik oleh orang ramai.
“Kalau scammer kata setiap bulan 10 peratus pulangan untung..cubalah hitungkan siapa nak kerja kalau pelaburan menjana untung tanpa kerugian.. tidak ada siapa yang akan kerja jika ada jalan mudah buat duit tanpa bekerja dan ia tiada jaminan.
“Jika dia janjikan pelaburan masa terhad dalam iklan di online, ini juga modus operandi mereka menghalang kita mengambil masa untuk menyemak kesahihannya dan terjerat dalam penipuan mereka.
“Kita sediakan banyak kemudahan untuk menyemak penipuan scammer online termsuk dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Kalau rasa dah semak tetapi masih tak tahu nak sahkan kesahihan atau rasa ragu-ragu, sila buat panggilan atau layari laman web rasmi BNM yang menyediakan khidmat ‘live chat’ yang mana kami bersedia membantu anda menyemak,” katanya. – MalaysiaGazette