Home Utama Minyak masak botol banyak diseleweng dan diseludup – PM

Minyak masak botol banyak diseleweng dan diseludup – PM

Kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diseleweng dan diseludup oleh pihak industri dan komersial.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diseleweng dan diseludup oleh pihak industri dan komersial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, oleh yang demikian kerajaan membuat keputusan tidak meneruskan subsidi kepada minyak masak berbotol bagi dua hingga lima kilogram.

Dalam masa yang sama, beliau berkata subsidi minyak masak botol yang mula dikuatkuasakan sejak tahun lalu adalah bersifat sementara untuk membantu rakyat ketika pandemik Covid-19.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk
membantu golongan terkesan pandemik,” katanya dalam Pengumuman Khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan masih meneruskan pemberian subsidi kepada minyak masak paket yang dijual dengan harga RM2.50 bagi 1 kilogram (kg) berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM9.

Jelas Ismail Sabri, setiap bulan kerajaan mensubsidikan 60,000 tan metrik minyak masak paket melebihi keperluan sebenar pengguna iaitu 55, 000 tan metrik sebulan.

“Saya ingin menjelaskan kekeliruan berhubung dengan subsidi minyak masak sejak semalam, ramai yang membuat pelbagai kenyataan dan sebagainya yang agak mengelirukan mengatakan subsidi minyak masak ditarik balik.

“Untuk makluman seluruh Keluarga Malaysia, kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun 2022 berbanding RM500 juta pada tahun 2020 dan RM2.2 bilion pada 2021,” jelasnya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.

Dalam masa yang sama, katanya, ini bagi membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada tambahan bantuan terhadap golongan sasar.- MalaysiaGazette