Home Nasional Ops Khas Motosikal kesan 15 penunggang tiada lesen

Ops Khas Motosikal kesan 15 penunggang tiada lesen

Ops Khas yang dijalankan oleh JPJ di Kuantan.

KUANTAN – Seramai 15 orang penunggang motosikal dikesan tidak mempunyai lesen memandu hasil pemeriksaan ke atas 105 orang penunggang motosikal dalam Ops Khas yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar bandar, di sini hari ini.

Dalam operasi yang bermula 9.30 pagi itu, sebanyak 24 kenderaan turut dikenakan tindakan kerana tidak mempunyai lesen dan perlindungan insurans.

Dua penunggang motosikal dikenakan tindakan atas kesalahan berkaitan nombor pendaftaran yang tidak mengikut peraturan.

Pengarah JPJ Negeri Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, beliau memandang serius apabila ada penunggang motosikal  tiada lesen memandu yang merupakan syarat layak seseorang individu untuk berada di atas jalan raya.

Tegasnya, ia penting bagi penunggang motosikal mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkenaan peraturan ketika di jalan raya, seterusnya dapat mengurangkan kadar kematian akibat berlakunya kemalangan.

Bagi kesalahan tiada lesen memandu, penunggang serta pemilik motosikal terbabit boleh disiasat di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 26 (2) akta sama iaitu maksimum RM2,000 atau penjara tidah melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette