Home Ekonomi PKS bantah yuran RM300 untuk yuran micro-credential

PKS bantah yuran RM300 untuk yuran micro-credential

William Ng

KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) membantah keras yuran RM300 setiap pekerja yang dikenakan oleh HRD Corp untuk memproses geran latihan micro-credential.

Lantaran itu, Samenta menggesa Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan agar segera mengarahkan HRD Corp menangguhkan cadangan mengenakan yuran tersebut dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Lembaga Pengarah HRD Corp mengenai rasional dan keperluan kewangan bagi yuran tersebut.

Pengerusinya, Datuk Willian Ng berkata, semua majikan, termasuk perusaahan kecil dan sederhana (PKS) dengan 10 pekerja dan ke atas wajib menyumbang kepada dana HRD Corp, kononnya untuk membangunkan kemahiran pekerja.

Ia berikutan susulan pindaan yang dibuat kepada Akta PSMB pada tahun 2021.

”Sebagai contohnya, sebuah PKS dengan 10 pekerja dan membayar gaji bulanan sebanyak RM2,000 seorang, wajib menyumbang RM2,400 setahun kepada HRD Corp. Dana ini kemudiannya boleh digunakan untuk program latihan yang diputuskan oleh PKS tersebut. Misalnya, PKS boleh menghantar tiga orang pekerja untuk mengikuti kursus perkhidmatan pelanggan dengan bayaran RM800 seorang dan yuran kursus tersebut boleh dituntut daripada dana HRD Corp.

”Namun, dengan yuran micro-credential yang baru ini, PKS yang sama hanya dapat melatih dua pekerja kerana RM600 daripada dana itu akan dibayar kepada HRD Corp untuk memproses micro-credential,” katanya di sini.

Lantaran itu, menteri, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp dan lembaga pengarahnya harus menjawab bagaimana dengan melatih kurang pekerja dengan wang yang sama, dapat meningkatkan kemahiran lebih ramai rakyat Malaysia.

William berkata, Samenta kecewa kerana walaupun mempunyai talian komunikasi terus, HRD Corp tidak meminta pandangan persatuan ini mengenai langkah ini, seolah-olah tidak berminat mendapatkan maklum balas dari PKS dan majikan.

Katanya, ketika kekurangan tenaga kerja menghalang pemulihan dan pertumbuhan PKS, adalah penting bagi PKS meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja mereka sebagai pemacu ke arah automasi dan pendigitalan.

Bagaimanapun inisiatif HRC Corp terbaru ini bukan sahaja tidak produktif tetapi juga mengehadkan hak majikan untuk
menentukan keperluan latihan perniagaan mereka dan pekerja mereka. – MalaysiaGazette