GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat penarikan subsidi minyak masak botol serta penghapusan kawalan harga ayam serta telur ketika ini tidak sesuai memandangkan ekonomi rakyat masih terkesan akibat pandemik Covid-19.
Pegawai Pendidikannya, NV Subbarow berkata, tinjauan pihaknya selama dua hari sejak semalam mendapati rata-rata suri rumah meluahkan rasa marah dan kecewa atas tindakan drastik kerajaan membabitkan pemansuhan subsidi serta kawalan harga pada bahan makanan asas itu.
Jelas beliau, kerajaan sepatutnya mengkaji satu kaedah pemberian subsidi bersasar sebelum mengumumkan pemansuhan berkenaan kerana ia menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat yang bakal berdepan kenaikan harga barang secara mendadak.
“Kita tak kata tidak boleh mansuhkan atau perlu beri subsidi secara berterusan tetapi kerajaan kena kaji apa langkah yang sesuai untuk golongan berpendapatan rendah tidak terbeban dengan inflasi.
“Sebelum ini pun minyak paket sukar diperoleh di pasaran dengan pemansuhan ini mungkin rakyat tidak boleh nampak rupa minyak paket kerana ia akan dimonopoli pihak tertentu dan ia secara tidak langsung membuatkan golongan B40 terpaksa membeli barangan asas pada harga tinggi.
“Malah, pemberian tambahan bantuan BKM secara tidak langsung akan dibelanjakan kepada peniaga susulan kos sara hidup meningkat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.
Tambah Subbarow, pihak mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan sistem pemberian barangan bersubsidi kepada golongan berpendapatan rendah.
“Contohnya mereka mempunyai kad khas atau ambil barangan bersubsidi di agensi kerajaan agar pemberian itu betul-betul diterima pihak sepatutnya.
“Ini secara tidak langsung dapati memastikan kehidupan mereka yang berpendapatan rendah tidak terkesan walaupun kerajaan menghapuskan subsidi secara umum,” ujar beliau.
Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan tidak meneruskan kawalan harga siling ayam dan telur ayam berkuat kuasa 1 Julai.
Kata beliau, subsidi minyak masak untuk kemasan dua, tiga dan lima kilogram (kg) juga akan dimansuhkan bermula tempoh sama. – MalaysiaGazette