Home Nasional Dana Pembiayaan Agromakanan RM800 juta jamin pengeluaran makanan

Dana Pembiayaan Agromakanan RM800 juta jamin pengeluaran makanan

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memperuntukan RM800 juta
bagi pelaksanaa Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) untuk menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan.

Pelaksanaan yang akan diseliakan oleh Agrobank itu menawarkan kemudahan pembiayaan khusus mengikut agihan pembiayaan melibatkan enam perkara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM300 juta diperuntukan bagi pembiayaan ternakan ayam.

Sebanyak RM200 juta bagi ternakan ruminan iaitu lembu dan kambing serta RM100 juta bagi tanaman sayur-sayuran.

Selain itu sebanyak RM100 juta diperuntukan bagi usahawan mikro; RM50 juta bagi usahawan mikro baharu dan RM50 juta bagi usahawan muda.

Menurutnya, had maksimum pembiayaan bagi ternakan ayam, ternakan ruminan dan tanaman sayur sayuran ditetapkan sehingga RM5 juta.

“Manakala, had maksimum pembiayaan bagi usahawan mikro, usahawan mikro baharu dan usahawan muda adalah sehingga RM500,000.

“Tempoh pembiayaan untuk DPAKM ini adalah sehingga 8.5 tahun termasuk enam bulan moratorium yang akan ditawarkan kepada semua golongan sasar,” katanya.

Sementara itu kementerian turut mempermudah pembayaran tuntutan subsidi ayam kepada penternak sebanyak RM729.43 juta sejak 5 Februari lalu.

Sehingga 21 Jun lalu sebanyak 4,041 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM262 juta telah diluluskan.

Ronald berkata, Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan terus memantau status bekalan makanan negara.

Pelaksanaan tindakan-tindakan susulan intervensi juga telah dirangka bagi menangani isu bekalan makanan selain memperincikan inisiatif jangka masa pendek, sederhana dan panjang merentasi semua subsektor agromakanan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memperkukuh sekuriti makanan negara dalam memastikan kelangsungan bekalan dan ketersediaan makanan di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” jelas beliau.

Secara amnya bekalan makanan negara masih mencukupi dan bekalan ayam kekal stabil pada minggu ketiga bulan Jun 2022 serta disasarkan mencukupi untuk menampung permintaan bulan semasa. – MalaysiaGazette