KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan menetapkan 1 Julai depan bagi menentukan keputusan permohonan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan tuduhan rasuah berjumlah RM5.2 juta dan penggubahan wang.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim mendedahkan tarikh tersebut di Mahkamah Syssen hari ini.
Hakim, Azura Alwi kemudian menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan utama.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi berpuas hati ketiga-tiga alasan dikemukakan oleh Abdul Azeez untuk membatalkan semua pertuduhan terhadapnya, tidak mempunyai merit yang mewajarkan mahkamah menggunakan bidang kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonannya.
Ketika itu Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya menyatakan, semua pertuduhan telah dirangka dengan sempurna dan menjadikan satu tindakan pra-matang pada peringkat itu jika mahkamah memutuskan semua pertuduhan yang dikemukakan adalah tidak berasas.
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Baling itu untuk menangguhkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen sehingga tamat rayuan bagi keputusan mahkamah terdahulu pada April 2021.
Seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.
Abdul Azeez dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak yang melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.
Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).
Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini, pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.
Abdul Azeez juga didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018 bagi penggubahan wang haram. -MalaysiaGazette