SERDANG – Sebanyak 7,150 pelajar enam tahun dari 362 tadika Little Caliphs mengikuti Program Simulasi Haji Cilik atau Little Hajj 2022 anjuran Little Caliphs International Sdn Bhd (LCISB), yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.
Berpakaian ihram berwarna putih lengkap dengan beg haji dan replika pasport, kanak-kanak Little Caliphs dari kawasan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor diberi pendedahan awal berkaitan Rukun Islam kelima dengan dibantu 780 guru-guru mereka yang berperanan sebagai mutawwif.
Bermula seawal 8.30 pagi, para pelajar dibimbing melaksanakan Rukun Haji antaranya wukuf, sai’e, melontar jamrah, tahallul dan tawaf mengelilingi replika kaabah berketinggian 10 kaki.
Ketua Pegawai Eksekutif LCISB Datuk Roslan Nordin berkata program itu adalah satu daripada cara Little Caliphs memperkenalkan perintah Allah kepada anak-anak kecil dengan cara menyeronokkan.
“Mereka bukan saja tengok dan dengar, tapi mereka lakukan sendiri dan lalui sendiri manasik haji itu. Di Little Caliphs kita juga menerangkan kepada pelajar makna setiap perlakuan seperti sai’e, tawaf dan wukuf serta kita kaitkan dengan sejarah,” katanya kepada media di Program Simulasi Haji Cilik hari ini.
“Kita ajar mereka haji ini ia berkaitan dengan tunjang kerohanian dalam kurikulum standard prasekolah kebangsaan dikeluarkan Kementerian Pendidikan yang mana dalam tunjang kerohanian ini kita ajar mereka tentang Rukun Iman dan Rukun Islam,” katanya lagi.
Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 15,000 pelajar enam tahun dari 480 tadika Little Caliphs seluruh negara terlibat dengan Program Little Hajj itu.
Ketua Pegawai Akademik LCISB Datin Dr Sabariah Faridah Jamaluddin yang juga Pengarah Program berkata selepas dua tahun tidak dapat diadakan secara fizikal dalam kumpulan besar, penganjuran pada tahun ini amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh pelajar malah ibu bapa.
Kali terakhir diadakan adalah pada 2019 sebelum ia tertangguh selama dua tahun berikutan pandemik COVID-19, dan dalam tempoh dua tahun tidak diadakan Program Little Hajj secara fizikal dalam kumpulan besar, setiap tadika Little Caliphs melaksanakannya secara kecil-kecilan, katanya.
“Masa itu setiap tadika kami pantau buat haji di tadika masing-masing dan kami bagi softcopy untuk pihak pengurusan mengadakan replika kaabah, papan tanda dan sebagainya. Tahun ini saya amat gembira kerana anak-anak ini sedang manasik haji dan cara kami mengajar juga di luar bilik darjah,” katanya.
Beliau berkata pelajar-pelajar tersebut didedakan kaedah praktikal ‘Naik Haji’ seiring dengan pendekatan metadologi Pembelajaran Berasaskan Projek secara amali Program The Little Caliphs.
“Ia adalah projek dua minggu iaitu sebelum mereka datang ke sini untuk melaksanakan Rukun Haji secara praktikal, para pelajar diajar terlebih dahulu di dalam kelas dan buat manasik haji di tadika masing-masing,” katanya.
Sabariah Faridah berkata pihak pengurusan LCISB turut mendapatkan khidmat nasihat dari Lembaga Tabung Haji bagi memastikan setiap yang diajar kepada kanak-kanak sama dengan apa yang dilakukan secara realitinya.
Muhammad Ammar Mirza Sha Adli, 6, dari Little Caliphs Puncak Utama yang menyertai program itu bersama 19 rakan tadikanya yang lain, berkata dia seronok terlibat sama dalam melaksanakan manasik haji.
“Saya rasa seronok dan terbaik sebab dapat jumpa kawan. Saya nak pergi haji apabila besar nanti,” katanya aktiviti mengelilingi atau tawaf replika Kaabah adalah yang paling disukai.
Waffa A. Rahim, yang mengusahakan enam cawangan Little Caliphs, berkata program itu sememangnya dinantikan ibu bapa setiap tahun dan menyifatkan pelaksanaan manasik haji itu adalah kemuncak kanak-kanak di Little Caliphs memahami tentang kelima-lima Rukun Islam selepas didedahkan dengan asas pendidikan agama seawal usia empat tahun lagi.
“Apabila dah sampai Program Little Hajj, maknanya anak-anak dah selesai (Rukun Islam) dari kalimah dua syahadah sampai kepada rukun mengerjakan haji. Program ini adalah cara kita mengajar mereka dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bukan sekadar baca daripada buku,” katanya.- BERNAMA