Home Nasional Mahkamah bebaskan Ambika dari dakwaan bunuh amah, duta Indonesia kecewa

Mahkamah bebaskan Ambika dari dakwaan bunuh amah, duta Indonesia kecewa

forfeiture suit UMNO MCA Najib Razak 1MDB scandal Court of Appeal appeals Palace of Justice
Mahkamah Persekutuan di sini mengekalkan keputusan dua mahkamah dalam membebaskan M A Ambika yang didakwa telah membunuh pembantu rumah warganegara Indonesia.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini mengekalkan keputusan dua mahkamah dalam membebaskan M A Ambika yang didakwa telah membunuh pembantu rumah warganegara Indonesia.

Ambika didakwa membunuh Adelina Lisao, 28, di sebuah rumah beralamat 67, Medan Kota Permai 2, Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira pukul 4 petang pada 10 Februari 2018.

Tiga panel Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap warga emas itu.

Adelina meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam pukul 4.45 petang 11 Februari 2018 selepas diselamatkan dalam keadaan cedera parah dari rumah majikannya sehari sebelum itu.

Mangsa dilaporkan lebam pada bahagian kepala dan muka serta cedera di lengan dan kedua-dua belah kaki sehingga bernanah.

Mangsa juga disuruh tidur di luar bersama seekor anjing di perkarangan rumah Ambika.

Mangsa kemudian dibantu orang jiran dan orang awam dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam namun meninggal dunia pada hari berikut akibat kekurangan darah. 

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono yang hadir di mahkamah hari ini dilihat tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.

“Ini memberi impak kepada hak asasi manusia dan juga sukar untuk diterima oleh keluarga mangsa. Tiada siapa yang menanggung tanggunjawab dalam kes ini. Sukar untuk memahami bagaimana ia berlaku.

“Sebenarnya kami tahu Adelina meninggal dunia selepas dibawa dari rumah majikannya dalam keadaan yang teruk di, mana seluruh badannya mengalami kecederaan dan tiada siapa yang membawanya ke hospital. Tetapi mahkamah mendapati tiada sesiapa dipertanggungjawabkan.

“Ini sangat sukar untuk rakyat Indonesia faham. Bagaimana dia boleh mati dalam keadaan tragik seperti itu tanpa sesiapa yang bertanggungjawab,” katanya kepada media di luar Istana Keadilan hari ini. – MalaysiaGazette