Home Nasional Murid Tahun Satu maut kereta terbabas dalam perjalanan ke sekolah

Murid Tahun Satu maut kereta terbabas dalam perjalanan ke sekolah

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam perjalanan ke sekolah selepas kenderaan dipandu bapa saudaranya dirempuh sebuah lori di Jalan Krubong, Tampoi, Melaka pagi tadi.

MELAKA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam perjalanan ke sekolah selepas kenderaan dipandu bapa saudaranya dirempuh sebuah lori di Jalan Krubong, Tampoi, di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, mangsa, Nurul Qalisha Abdul Rahim yang berpakaian sekolah disahkan maut di lokasi dalam kejadian jam 8.15 pagi itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menaiki kereta jenis Perodua Kancil berkenaan yang dipandu bapa saudaranya berusia 29 tahun bersama neneknya.

“Berdasarkan semakan ‘dashcam’ yang diperolehi polis, kemalangan berlaku apabila Perodua Kancil yang datang dari arah Krubong menuju ke Cheng terbabas ketika melalui selekoh di kawasan Perindustrian Cheng akibat hujan lebat mengakibatkannya berpusing dan memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan merempuh belakang Perodua Kancil terbabit.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam perjalanan ke sekolah selepas kenderaan dipandu bapa saudaranya dirempuh sebuah lori di Jalan Krubong, Tampoi, Melaka pagi tadi.

“Rempuhan itu mengakibatkan murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Cheng berkenaan yang duduk di bahagian belakang tersepit dan maut ditempat kejadian sebelum dikeluarkan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, nenek mangsa berusia 58 tahun patah tangan kanan manakala kedua-dua pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat yang mana kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette