Home Dunia Ahli arkeologi temui masjid purba di Israel

Ahli arkeologi temui masjid purba di Israel

Tapak sebuah masjid yang terawal di wilayah Negev. Foto: IAA

RAHAT – Pihak Berkuasa Antik (IAA) IsraelĀ  menemui sebuah masjid purba di padang pasir Negev berhampiran bandar Rahat di selatan Israel.

Penggalian yang dilakukan itu merupakan sebahagian daripada projek yang dibiayai negara tersebut menerusi Lembaga Pembangunan dan Penempatan Badwi Negev yang sedang membina kejiranan baharu di bandar Bedouin.

Tapak itu berusia 1,200 tahun dan ia mewakili salah sebuah masjid terawal di wilayah tersebut, tempoh peralihan daripada pemerintahan Kristian kepada Islam, lapor Heritagedaily.

Masjid tersebut mengandungi sebuah bilik segi empat sama dan menghadap ke arah Mekah, dengan mihrab separuh bulat menghala ke selatan.

Tiga tahun lalu, ahli arkeologi IAA menemui sebuah masjid yang sama era dengan penemuan terbaharu itu di kawasan berhampiran, dengan kedua-dua tapak tersebut disifatkan sebagai ‘antara terawal diketahui dunia’.

Di kawasan berdekatan, para penyelidik menemui bangunan yang mempunyai ciri-ciri Kristian dan Islam dan sebuah rumah ladang zaman Byzantine yang mempunyai menara dan halaman yang dikelilingi bilik-bilik.

Seorang wakil IAA berkata: “Bukti yang dikumpul setakat ini memberi sinar baharu tentang kemasukan Islam, sebuah kerajaan dan budaya baharu kepada wilayah Negev,”. – Agensi

(https://www.heritagedaily.com/2022/06/archaeologists-find-ancient-mosque-in-israel/143939)