KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna Mei 2022 meningkat 2.8 peratus kepada 126.6 berbanding 123.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Mei 2022 (1.9%), kata Jabatan Perangkaan Malaysia
Bagi perbandingan bulanan, pada Mei 2022, IHP meningkat 0.6 peratus berbanding April 2022 disumbangkan terutamanya oleh peningkatan pengangkutan (1.1%), diikuti oleh makanan & minuman bukan alkohol (0.9%) dan restoran & hotel (0.6%).
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2022, IHP meningkat 2.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi makanan terus meningkat ke paras baharu 5.2 peratus, tertinggi sejak November 2011, dengan 93.0 peratus item dalam kumpulan ini merekodkan kenaikan.
Daripada 93.0 peratus item yang meningkat dalam kumpulan makanan, 29.4 peratus meningkat dalam julat kurang daripada 5 peratus, 37.7 peratus meningkat antara 5 hingga 10 peratus manakala 32.9 peratus meningkat lebih daripada 10 peratus.
Sementara itu, semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada kenaikan inflasi keseluruhan 2.8 peratus, sementara pengangkutan meningkat 3.9 peratus diikuti oleh restoran & hotel (3.7%); hiasan,
perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (2.9%); pelbagai barangan & perkhidmatan (1.9%) dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (1.8%).
Sementara itu, perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain mencatatkan peningkatan 1.2 peratus dan pendidikan meningkat 1.0 peratus. Kedua-dua kumpulan minuman alkohol & tembakau dan kesihatan masing-masing mencatatkan peningkatan
marginal 0.4 peratus.
Kumpulan komunikasi kekal tidak berubah berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Menurut beliau, harga makanan di rumah dan di luar rumah masing-masing meningkat ketara sebanyak 5.5 peratus (April 2022: 4.1%) dan 5.1 peratus (April 2022: 4.4%), mendorong kepada kenaikan inflasi makanan.
Subkumpulan Daging mencatatkan peningkatan tertinggi 9.5 peratus pada Mei 2022 (April 2022: 6.2%) disebabkan oleh permintaan tinggi pada musim perayaan, diikuti oleh kenaikan sayur-sayuran (8.1%); susu, keju & telur (8.0%); ikan & makanan laut (4.3%) dan minyak & lemak (3.7%).
Sementara itu, kenaikan ketara bagi makanan di luar rumah dapat dilihat bagi nasi berlauk (8.3%), roti canai (7.8%), makanan
berasaskan mee (5.7%) dan masakan ayam (5.1%).
Mohd Uzir menambah, kos makanan yang meningkat ditambah dengan peningkatan permintaan antara punca kenaikan harga ayam pada kali ini.
Ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan daging (46.1%) meningkat sebanyak 13.4 peratus berbanding 7.5 peratus pada April 2022.
Purata harga ayam pada Mei 2022 adalah RM9.70 sekilogram berbanding RM8.44 pada Mei 2021 dan lonjakan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini pula berpunca terutamanya daripada peningkatan harga baja, kos logistik, kekurangan
tenaga buruh dan kedaan cuaca.
Antara sayur-sayuran yang menunjukkan kenaikan tertinggi tahun ke tahun pada Mei 2022 adalah lada benggala (29.5%), bendi (22.9%), tomato (19.6%), kacang buncis (19.0%) dan bayam (18.5%).
Sementara itu, ikan-ikan yang paling murah dan menjadi pilihan pengguna turut meningkat, antaranya Ikan pelaling yang meningkat kepada RM14.04 (Mei 2021: RM11.63), ikan keli RM10.05 (Mei 2021: RM9.10) dan ikan kembong RM16.65 (Mei 2021: RM14.52).
Peningkatan dalam kumpulan pengangkutan pula disebabkan terutamanya oleh peningkatan purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 sebanyak 63.8 peratus (RM4.26 seliter) berbanding RM2.60 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kenaikan harga minyak ini adalah kesan daripada peningkatan harga minyak mentah Brent (65.2%) kepada $AS112.37 setong pada Mei 2022.
Namun begitu, harga subsidi yang dilaksanakan bagi Petrol Tanpa Plumbum RON95 dan diesel telah mengimbangi kenaikan inflasi kumpulan ini. Harga bagi Petrol Tanpa Plumbum RON95 kekal pada RM2.05 seliter sejak Mac 2021.
Mengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, beliau berkata, peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.7%).
Sementara itu, Kedah & Perlis (2.2%), Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (2.2%) dan Melaka (2.1%) merupakan tiga negeri yang mempunyai peningkatan inflasi yang paling rendah.
Namun kesemua negeri mencatatkan peningkatan ketara bagi inflasi makanan & minuman bukan alkohol dan peningkatan
tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (6.7%) diikuti oleh Johor (6.0%), Pulau Pinang (5.8%) dan Perak (5.2%).
Sementara itu, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 2.9 peratus daripada 123.6 pada Mei 2021 kepada 127.2 pada Mei 2022. – MalaysiaGazette