IPOH – Seorang parah manakala tujuh lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 26, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.05 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Jelasnya, nahas membabitkan Perodua Alza dinaiki lapan sekeluarga itu dari Simpang Pulai menghala Cameron Highlands, manakala Toyota Hilux yang dipandu lelaki warga Bangladesh dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati semua mangsa sudah dikeluarkan dari kenderaan masing-masing oleh orang awam.
“Mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah jurucakap itu, mangsa yang parah adalah seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang belakang manakala pemandu Bangladesh itu tidak mengalami kecederaan.
Operasi tamat pada 12 tengah hari. – MalaysiaGazette