Home Nasional Laporan polis dibuat terhadap kenyataan kes mahkamah Guan Eng, Syed Saddiq

Laporan polis dibuat terhadap kenyataan kes mahkamah Guan Eng, Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Putrajaya pada hari ini terhadap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut laporan tersebut yang dibuat pada pukul 5:48 petang tadi, pengadu melaporkan dia telah membaca satu artikel yang dimuatnaik dalam portal berita Malaysiakini bertajuk, “Tiada Bukti Jejak Wang, Lim Nafi Terima Rasuah,” yang diterbitkan pada 24 Jun 2022, jam 1.49 petang”, menurut sumber.

Pengadu berkata, dalam artikel tersebut, dia mendapati Lim Guan Eng telah menyatakan “kenyataan oleh seorang saksi ke atas beliau adalah tidak benar dan ianya semata-mata satu rekaan dan konspirasi politik.”

Menurut pengadu, dalam artikel tersebut, saksi yang dimaksudkan ialah Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang masih belum selesai memberikan keterangan dalam perbicaraan jenayah ke atas Lim Guan Eng.

Oleh itu, tindakan Lim Guan Eng adalah bersifat subjudis kerana perbicaraan kes tersebut masih belum selesai dan ia adalah berkaitan dengan perbicaraan jenayah yang sedang berlangsung ke atas dirinya.

Sehubungan itu, pengadu juga mengatakan tujuan aduan ini dibuat adalah untuk rujukan pihak Jabatan Peguam Negara bagi memulakan satu tindakan menghina mahkamah ke atas Lim Guan Eng.

Berhubung laporan polis oleh Syed Saddiq, sumber berkata, ia dibuat pada pukul 5:35 petang selepas pengadu melihat sebuah rakaman video dalam YouTube saluran Malaysian Gazette TV yang bertajuk: “Pertuduhan Ke Atas Syed Saddiq Bermotifkan Politik” berkaitan dengan perbicaraan Ahli Parlimen Muar tersebut.

Menurut pengadu, dalam rakaman tersebut, seorang peguam yang memperkenalkan dirinya sebagai Lim telah menyatakan pertuduhan ke atas Syed Saddiq adalah bermotif politik kepada pihak media di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Pengadu itu menyatakan “tindakan peguam ini adalah bersifat subjudis kerana perbicaraan kes tersebut masih belum bermula dan ia adalah berkaitan dengan perbicaraan jenayah tersebut.

Menurut pengadu, tindakan ini boleh mengganggu proses kehakiman kes ini dan laporan polis itu juga dibuat untuk rujukan Jabatan Peguam Negara bagi memulakan satu tindakan menghina mahkamah ke atas Syed Saddiq dan peguam tersebut. – MalaysiaGazette