Home Nasional Mapim lancar tabung bantu warga Afghanistan terkesan gempa bumi

Mapim lancar tabung bantu warga Afghanistan terkesan gempa bumi

Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi untuk warga Afghanistan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tabung berkenaan adalah bagi membantu warga negara berkenaan yang terjejas dengan bencana gempa bumi pada 22 Jun lepas hingga mengorbankan 1,000 nyawa.

Katanya, ribuan lagi warga negara itu cedera dan memerlukan bantuan segera.

“Mapim menjemput NGO kemanusiaan di Malaysia untuk bersama dalam usaha bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan dalam masa terdekat.

“Rancangan misi kemanusiaan untuk bergerak ke lokasi gempa akan dibincangkan secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azmi berkata, pihaknya bersedia bersama dengan mana-mana NGO di peringkat nasional dan antarabangsa untuk berkoordinasi dalam menyampaikan bantuan kecemasan ke negara itu.

Ujarnya, fokus utama ketika ini adalah untuk membantu dari segi tempat tinggal, makanan, air bersih serta rawatan perubatan. – MalaysiaGazette