KUALA LUMPUR – Mana-mana keputusan yang telah diputuskan oleh parti harus diterima secara akur, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Tegas beliau, tidak ada masalah untuk mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun mereka perlu menggunakan saluran yang betul.
“Saya rasa asas yang penting adalah siapa yang tak ikut parti memang wajar pun dia kena tindakan sebab mana-mana organisasi perlukan ahli yang berdisplin yang patuh pada keputusan parti.
“Jadi tak kiralah siapa pun, jadi soal ramai lagi tak timbul, yang penting kalau semua patuh kepada parti tidak ada masalah,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sebenar tadi.
Dalam pada itu, Puad berkata dirinya juga sering mengkritik Ahmad Zahid namun akur kepada keputusan parti.
“Saya juga mengkritik presiden, tidak ada masalah pun, tapi biarlah betul.
“Mana yang sudah menjadi keputusan kita patuh. Soal mengkritik siapa boleh mengkritik, jadi apa masalahnya kan?
“Saya juga mengkritik Perdana Menteri,” katanya lagi.
Lewat petang tadi, bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengeluarkan kenyataan berkata, terdapat beberapa nama lagi “dalam senarai menunggu” untuk dipecat selepas dicap sebagai musuh politik.
Annuar berkata, pemecatan demi pemecatan berlaku dan difahamkan ada lagi beberapa nama yang sudah ‘dicap’ sebagai musuh politik, bakal dipecat.
Untuk rekod, Ahli Parlimen Ketereh itu dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung BN, Januari tahun lalu.
Puad juga berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Zahid turut membincangkan mengenai Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dan masalah disiplin parti. – MalaysiaGazette