KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh terleka, sebaliknya perlu menerus dan mempertingkatkan usaha bagi memastikan kadar pengangguran dapat diminimumkan sesegera mungkin.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, statistik pada Mac lalu merekodkan terdapat lebih 669,000 atau 4.1 peratus rakyat negara ini menganggur.
Katanya, Pakar Ekonomi, Arthur Okun mengatakan, setiap satu peratus kejatuhan dalam pekerjaan, terdapat juga kejatuhan sepadan sebanyak dua peratus dalam kadar pertumbuhan hasil domestik negara.
“Selain itu, terdapat kira-kira 1.9 juta orang yang masuk dalam statistik sebagai bekerja, tetapi sebenarnya berstatus underemployed.
“Dengan itu, kita perlu mencari idea baru yang dapat membantu memacu pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 ini. Kolaborasi dan sinergi antara sektor awam dan swasta perlu dimaksimumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Barisan Nasional (BN) Youth Job Fair 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan; Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurut Ahmad Zahid, program tiga hari berakhir Ahad ini dijangka dapat memberi peluang pekerjaan kepada lebih 20,000 rakyat Malaysia terutama golongan belia.
Beliau mengucapkan syabas kepada Sekretariat Ekonomi Pemuda UMNO kerana menganjurkan program itu, sebagai kesinambungan pelaksanaannya sejak 2011.
Program itu mendapat sokongan dan dokongan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berkolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk My Future Jobs, Perkeso, syarikat GLC, agensi kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia.
Ini katanya, membuktikan kecaknaan UMNO dan BN dalam usaha menerokai dan mencari penyelesaian terbaik bagi isu berkaitan dengan anak muda.
“Kita istiqamah dalam memperjuangkan nasib dan masa depan anak muda.
“Ini menunjukkan UMNO dan BN tidak berlepas tangan daripada usaha membuka ruang pekerjaan baharu kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette