Home Seni Hidup 550 pelajar sekolah Dungun, Kemaman, Kuala Nerus terima bantuan YBR

550 pelajar sekolah Dungun, Kemaman, Kuala Nerus terima bantuan YBR

Shahrizal (dua dari kiri) menyampaikan bantuan persekolahan kepada murid sebuah sekolah di Kuala Nerus, hari ini.

KUALA NERUS – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan berjumlah RM55,000 kepada murid dan pelajar sekitar Kuala Nerus, Dungun serta Kemaman bagi membantu sesi persekolahan mereka yang memasuki fasa ke endemik.

Seramai 550 orang melibatkan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menerima bantuan itu dalam program bantuan persekolahan YBR.

Replika cek bantuan persekolahan itu disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri kepada wakil sekolah masing-masing.

Beliau berharap, sumbangan itu dapat membantu mereka di kalangan B40 meringankan urusan kewangan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pembelian baju, kasut, stoking atau beg mengikut kesesuaian masing-masing.

Mohd Shahrizal (empat dari kanan) bersama wakil ibu bapa dan guru dalam majlis penyampaian bantuan persekolahan YBR di Dungun, Kemaman dan Kuala Nerus, hari ini.

“Sumbangan ini adalah sebagai tanda cakna kita kepada mereka yang terkesan akibat gelombang pandemik Covid-19 yang melanda sejak dua tahun ini.

“Kita juga prihatin dengan keadaan ekonomi mereka yang tidak menentu dan bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 ini sedikit sebanyak membantu ibu bapa atau penjaga menanggung kos berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Turut hadir dalam sesi penyampaian itu, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Menurut Mohd Shahrizal lagi, bantuan itu disalurkan kepada murid dan pelajar yang layak supaya memberi suntikan semangat kepada mereka untuk terus menuntut ilmu.

Katanya, sumbangan itu juga sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Sehingga kini, seramai 60,558 murid dan pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6.72 juta sejak dari tahun 2018.

“Bagi tahun ini, sejumlah RM3 juta diperuntukan dalam program bantuan persekolahan,” katanya. – MalaysiaGazette