Home Nasional DAP gesa PSU bersasar sektor pelancongan dilanjutkan

DAP gesa PSU bersasar sektor pelancongan dilanjutkan

Khoo Poay Tiong.

KUALA LUMPUR – DAP menyeru kerajaan untuk melanjutkan Program Subsidi Upah (PSU) bersasar untuk perusahaan-perusahaan pelancongan untuk memastikan sektor pelancongan negara kita dapat terus pulih dengan lancar.

Jurucakap DAP untuk Pelancongan, Seni dan Budaya, Khoo Poay Tiong berkata, pelanjutan PSU bersasar ini dapat membantu sektor pelancongan mengurangkan kesan daripada kenaikan gaji minima dan harga barangan baru-baru ini.

Selain itu, katanya, PSU bersasar membolehkan para pengusaha menawarkan gaji yang lebih tinggi untuk meringankan masalah kekurangan pekerja dalam jangka masa pendek sebelum mereka pulih sepenuhnya.

“Di dalam Belanjawan 2022, kerajaan telah memperuntukkan subsidi upah berjumlah RM600 juta, khas untuk sektor pelancongan. Namun, inisiatif ini hanyalah untuk tiga bulan dan oleh itu telah tamat.

“DAP menyeru kerajaan untuk melanjutkan PSU bersasar ini untuk tempoh tiga bulan lagi dengan peruntukan tambahan sebanyak RM250 juta.

“Peruntukan ini dapat menyalurkan subsidi RM300 sebulan untuk setiap pekerja. Secara keseluruhannya, pelanjutan PSU bersasar ini akan memanfaatkan lebih 20,000 perusahaan dan 300,000 pekerja di sektor pelancongan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka dalam satu kenyataan hari ini.

Peruntukan RM250 juta tersebut boleh diperoleh daripada peruntukan sedia ada di dalam Belanjawan 2022, seperti RM4.8 bilion yang telah diperuntukkan di bawah inisiatif Jamin Kerja, dan RM230 juta yang telah diperuntukkan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan.

Oleh itu, katanya, tiada peruntukan tambahan diperlukan untuk melanjutkan PSU bersasar ini. Kerajaan sekadar perlu bertindak dengan lebih fleksibel dan responsif terhadap keadaan dan keperluan semasa sektor pelancongan dengan melaraskan semula peruntukan sedia ada.

Separuh kedua tahun 2022 adalah amat kritikal untuk sektor pelancongan, khususnya dengan ketibaan lebih ramai pelancong antarabangsa semasa musim cuti. Jika kerajaan tidak menyampaikan sokongan yang mencukupi, sektor pelancongan akan menghadapi masalah untuk memenuhi kadar permintaan yang meningkat.

Ini secara tidak langsung akan menjejaskan kualiti perkhidmatan dan sekali gus merosakkan reputasi sektor pelancongan Malaysia dalam kalangan pelancong antarabangsa.

Sebelum berlakunya pandemik Covid-19, sektor pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Malaysia dengan nilai tambah kasar industri pelancongan (GVATI) RM240.5 bilioin iaitu bersamaan dengan 15.9% daripada keluargan kasar dalam negara (GDP) pada tahun 2019.

“Sektor pelancongan dijangka akan mulih semula dan kembali menyumbang kepada ekonomi negara dengan adanya pembukaan semula sempadan antarabangsa. Kerajaan wajar memberi sokongan yang berpatutan, terutamanya dengan melanjutkan inisiatif PSU bersasar, supaya sektor pelancongan negara dapat pulih dengan lancar,” katanya.- MalaysiaGazette