KUANTAN – Susulan penarikan diri altlet badminton profesional negara, Lee Zii Jia dalam sukan Komanwel Birmingham 2022 bulan depan, ia dilakukan berdasarkan penilaian prestasi kesihatannya dan nasihat pakar perubatan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pihaknya menghormati keputusan pemain badminton kesayangan negara itu berikutan kecederaan yang dialami lebih berisiko jika beliau kembali beraksi tanpa pulih sepenuhnya.
Jelas beliau, keputusan itu dibuat Zii Jia dan pengurusan pasukannya selepas penilaian dibuat dari segi semua aspek termasuk tahap kecederaan dialaminya yang memerlukan masa untuk sembuh.
“Zii Jia memerlukan kira-kira enam minggu untuk pulih sepenuhnya daripada masalah itu dan menyegerakannya untuk Sukan Komanwel mungkin akan memburukkan lagi kecederaan beliau.
“Jika Zii Jia dihantar ke Sukan Komanwel mungkin satu tindakan yang berisiko kerana kecederaan itu mungkin akan menimbulkan ancaman jangka panjang.
“Justeru, kami tidak mahu menetapkan matlamat jangka pendek di mana Zii Jia mungkin beraksi buruk dalam kedua-dua Sukan Komanwel dan kejohanan dunia,” katanya selepas merasmikan program GO- Kart Speed Track di Berjaya Megamall pada hari ini.
Tambah Lian Ker, pasukan perubatan Zii Jia juga sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membolehkannya menjalani tempoh pemulihan lebih lama.
Beliau berharap penyokong dan peminat sukan badminton negara menghormati keputusan yang dibuat berikutan keadaan semasa Zii Jia serta mengambil kira pandangan semua pihak dan optimis skuad negara bakal membawa pingat biarpun ketiadaannya.
“Dia bukan membuat keputusan secara bersendirian tapi selepas mendengar nasihat daripada pakar kesihatan yang merawatnya. Ini adalah perkara yang kita perlu hormati kerana dia masih mengalami kecederaan.
“Kita faham ramai rakyat Malaysia kecewa dengan keputusan Zii Jia kerana dia adalah salah seorang atlit berpotensi menyumbangkan pingat emas tetapi tapi kita kena hormat keputusan itu dan kita masih ada atlet lain yang mewakili negara juga berpeluang memberikan pingat emas untuk kontinjen negara,’’ katanya.
Terdahulu pada Khamis, Zii Jia mengumumkan tidak akan bersama kontinjen negara di Sukan Komanwel yang dijadualkan bermula 28 Julai hingga 28 Ogos ini. – MalaysiaGazette