Home Politik Isham tekad perjuangkan isu kos sara hidup rakyat

Isham tekad perjuangkan isu kos sara hidup rakyat

Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang baharu, Isham Jalil berjalan keluar selepas selesai menghadiri ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang baharu, Isham Jalil bertekad akan memperjuangkan isu berkaitan kos sara hidup rakyat yang meningkat sebagai agenda besar perjuangannya selepas dilantik ke jawatan itu.

Isham, 46, berkata, beliau tidak akan membiarkan isu berkenaan berlarutan, sebaliknya, akan cuba mencari penyelesaian secepat mungkin.

“Sekarang ini banyak isu yang perlu diselesaikan. Jadi, kita tak boleh tunggu lama-lama terutama isu berkenaan kos sara hidup, isu harga barang naik.

“Bila orang tak makan kita tak boleh tunggu lama lagi…kita kena bincangkan dan kena selesaikan cepat-cepat,” katanya kepada media selepas Mesyuarat MKT UMNO, di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Katanya, beliau akan cuba memberikan idea-adea yang boleh disampaikan kepada kerajaan dalam mencari penyelesaian terhadap situasi yang berlaku ketika ini.

Ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya ke jawatan MKT UMNO, Isham yang juga bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor yang digugurkan berkata, pelantikan itu merupakan satu penghormatan yang besar buat dirinya.

Katanya, ia juga merupakan penghormatan kepada kedua ibu bapanya yang merupakan akar umbi parti selepas menyertai UMNO sejak berpuluh tahun lalu.

“Saya nak ucap banyak-banyak terima kasih kepada presiden yang telah melantk saya. Lantikan ini adalah lantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya juga nak ucap terima kasih kepada kempimpinan tertinggi UMNO dan juga kepada Ahli-ahli Majlis tertinggi UMNO yang telah menerima saya.

“Dengan pelantikan ini ia mampu memberi motivasi dan galakan kepada diri sayaa untuk bekerja dengan lebih keras lagi untuk parti dan rakyat. – MalaysiaGazette