Home Nasional Kerajaan perlu tambah lagi bank makanan negara – Pas Johor

Kerajaan perlu tambah lagi bank makanan negara – Pas Johor

Rakyat dinasihatkan berhemah ketika berbelanja. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pas Johor mencadangkan agar kerajaan mempertingkatkan penghasilan makanan dan menambahkan lagi bank makanan negara.

Ketua Penerangannya, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, kerajaan juga perlu meneruskan pemberian subsidi terutamanya terhadap barangan keperluan utama harian.

Katanya, konsep kafaalah (jaminan) umum perlu diperkasakan melalui penggunaan wang zakat dan percukaian untuk kemaslahatan rakyat.

“Kajian dan laporan menunjukkan akan berlaku kenaikan harga barangan keperluan setelah tempoh kawalan harga siling dan subsidi berakhir pada 30 Jun ini.

“Pas Johor melahirkan kebimbangan jika perkara ini benar-benar berlaku, ianya pasti akan terus menghimpit rakyat yang sudah berada dalam kesukaran,” katanya menerusi kenyataan.

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni

Dalam pada itu menurut Abu Irfan Muhammad, penguatkuasaan perlu bagi memastikan barangan keperluan sampai kepada pengguna tanpa melalui lapisan orang tengah yang mengambil keuntungan atas angin.

Ujarnya, semua pihak perlu menampilkan keprihatinan masing-masing terhadap keadaan yang bakal berlaku.

Katanya, pihak NGO turut disaran berganding bahu bersama kerajaan untuk menggerakkan kerja-kerja kebajikan kepada rakyat.

Tambah beliau, rakyat pula dinasihatkan supaya membudayakan perbelanjaan berhemah dan mengekalkan budaya prihatin sesama anggota masyarakat.

“Prihatin, ambil maklum dan peduli keadaan sekeliling kita. Semoga ahli Keluarga Malaysia terus hidup dengan harmoni dan makmur dalam menempuhi cabaran kehidupan,” katanya. – MalaysiaGazette