BANGKOK – Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Ahad berkata beliau berhasrat mengundang Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy untuk “membuka ruang kepada dialog damai” semasa lawatannya ke Moscow dan Kyiv.
Widodo akan melawat Jerman untuk menghadiri sidang kemuncak G7 dari 26 hingga 28 Jun, Ukraine pada 29 Jun, dan Rusia pada 30 Jun.
“Selepas lawatan saya ke Jerman, saya akan ke Ukraine untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Zelenskyy. Tujuan saya adalah untuk mengajak Presiden Ukraine, Presiden Zelenskyy, membuka ruang untuk dialog damai,” lapor Sputnik memetik agensi berita ANTARA.
Beliau berkata pertemuan dengan Zelenskyy bertujuan untuk “membangun perdamaian antara Rusia dan Ukraine” dan memulihkan rantaian bekalan makanan global.
Widodo bersedia berbincang dengan Putin untuk segera menamatkan peperangan di Ukraine, menurut laporan itu.
Indonesia ketika ini menggalas tanggungjawab sebagai Presiden G20 dan akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak berikutnya yang bakal berlangsung di Bali pada November. – Bernama