Home Nasional FLICK tingkatkan kebolehpasaran pelajar IPTA – PTPTN

FLICK tingkatkan kebolehpasaran pelajar IPTA – PTPTN

Para peserta yang terdiri daripada para pelajar USM Pulau Pinang bergambar bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr. Husaini Omar dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid selepas sesi penyampaian sijil penyertaan program FLICK.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan Program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya (FLICK) ke arah mempersiapkan graduan berkualiti sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Program yang dianjurkan bersama pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ini merupakan antara komitmen PTPTN dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, program tersebut satu pendekatan proaktif untuk melengkapkan pelajar IPTA dengan pelbagai kemahiran sebagai persediaan sekaligus meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan.

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, isu kebolehpasaran pasaran tidak wajar dipandang ringan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program FLICK Pelajar IPTA Tahun 2022 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad yang lalu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Husaini Omar.

Hadir pada majlis, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Operasi, PTPTN Mastura Khalid.

Tambah Ahmad Dasuki, program berkenaan juga memberi pendedahan kemahiran pengurusan kewangan yang sesuai dan relevan perlu diketahui oleh pelajar IPTA.

“Pelajar perlu diberikan kesedaran awal bahawa mengutamakan penabungan merupakan salah satu cara terbaik dalam mengurus kewangan dan membuat pilihan bijak dengan memilih produk simpanan yang menawarkan manfaat serta pulangan yang berbaloi.

“Produk simpanan PTPTN iaitu Simpan SSPN merupakan antara pilihan bagi instrumen simpanan untuk persediaan pendidikan sebagai jaminan masa hadapan,” katanya.

Sebagai rekod, sebanyak 14 IPTA di seluruh negara terlibat dengan program berkenaan.

Selain menyasarkan penyertaan seramai 100 pelajar daripada setiap IPTA terlibat yang terdiri dalam kalangan peminjam PTPTN tahun akhir pengajian, program tersebut turut menyediakan pelbagai pengisian menarik oleh penceramah dan pakar motivasi berpengalaman.

Sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, penganjuran program ini juga merupakan bukti sokongan PTPTN kepada Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 yang dilancarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tahun lalu dalam membantu merancakkan kembali aktiviti kebolehpasaran graduan.-MalaysiaGazette