ALOR GAJAH – Hasrat seorang lelaki melepaskan ‘hajat’ di tandas bahagian dapur rumahnya terbantut selepas mendapati seekor ular sawa seberat kira-kira lima kilogram berlingkar dalam jamban kediamannya itu di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, di sini, semalam.
Ular sawa sepanjang 2.1 meter itu bagaimanapun berjaya ditangkap dengan bantuan sepasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kejadian jam 6.50 petang itu.
Menurut Dayana Sazali, 28, kejadian itu disedari suaminya, Ahmad Khaidir Ahmad Abdullah, 29, ketika ingin menggunakan tandas di bahagian dapur rumahnya.
“Suami bagaimanapun terkejut apabila melihat kelibat ular sawa berkenaan sedang berlingkar di dalam mangkuk tandas terbabit.
“Dalam keadaan panik itu, suami segera menutup mangkuk tandas jenis duduk itu sebelum menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian itu adalah kali kedua berlaku selepas Ramadan tahun lalu yang dipercayai membabitkan ular sawa sama namun berjaya melarikan diri.
“Waktu Ramadan 2021 pernah juga berlaku kejadian sama namun ular berkenaan berjaya melarikan diri dengan cara memasuki semula saliran air ketika APM cuba menangkapnya.
“Mungkin, kali ini juga melibatkan ular sama namun keadaan ini benar-benar membuatkan saya trauma untuk menggunakan tandas di rumah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 6.52 petang.
“Sepasukan empat anggota kemudian telah dikejarkan ke lokasi sebelum reptilia itu berjaya ditangkap dalam masa kira-kira 15 minit.
“Kita percaya ia datang dari parit di belakang rumah berkenaan dan tersesat ke dalam saliran air,” katanya. – MalaysiaGazette