PETALING JAYA – Dahulu permainan kereta Tamiya menjadi kegemaran kanak-kanak dan remaja sekitar 1990-an dan awal 2000.
Siapa sangka dalam era permainan digital sekarang masih ada yang menyambung legasi permainan nostalgia itu dan masih menunjukkan minat yang sama seperti dahulu.
Bagi Muhd Badrillah Long Abdul Rashid, 31, beliau tidak berpeluang untuk bermain Tamiya sewaktu kecil dahulu tetapi umur bukan penghalang kepadanya.
Jadi beliau mula bermain permainan itu walaupun usianya boleh dikatakan sudah dewasa.
Namun, katanya, ada yang lebih berusia daripadanya tetapi juga masih bermain Tamiya sehingga kini.
Segalanya bermula apabila Muhd Badrillah buntu mencari hobi baru ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya menjadi sebab beliau berjinak-jinak di dalam dunia Tamiya.
Pejam celik, lebih dari RM3,000 sudah dibelanjakan dan hampir dua tahun berkecimpung dalam permainan ini.
“Sebelum ini memang tak pernah main, kalau dulu masa kecil-kecil pun saya tengok kawan main sahaja. Bila sudah besar baru saya dapat merasa main Tamiya.
“Saya start semasa PKP dulu. Mula sebab tengok orang post di media sosial nampak seronok pula kemudian teringat zaman kecil-kecil dulu” katanya ketika ditemui hari ini.
Hobi baharunuya itu membuatkan dirinya yang lebih dikenali sebagai Bad merasakan kepuasan kerana dapat menjalinkan hubungan yang lebih akrab dengan rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama.
“Istimewanya Tamiya ini, ia dapat sentiasa bersama kawan-kawan, event yang diadakan pun meriah. Semua bangsa main sama-sama, komuniti pemain Tamiya ini sudah macam satu famili” katanya.
Kini Bad juga merupakan salah seorang pemain Tamiya dalam Johor Cup dan akan menyertai Selangor Cup tidak lama lagi.
Sementara menunggu kejohanan, beliau bekerja separuh masa dengan mengambil upah menyiapkan kereta Tamiya daripada pelanggan.
Pesannya hobi permainan Tamiya tidak mahal namun kena berhati-hati mendapatkannya melalui jalan yang betul.
Ini kerana, katanya, ramai yang tersalah beli barang dan berhenti bermain sebelum capai keseronokannya. – MalaysiaGazette