KUALA LUMPUR – Ops Khas Perdagangan dilakukan sebagai usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengurangkan kemalangan membabitkan kenderaan berat di negara ini.
Pegawai Turus Zon Tengah B, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Amir Che Ya berkata, melalui operasi yang sama hari ini di Plaza Tol Sungai Ramal (Arah Timur) , pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 80 saman.
Kesemua saman itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, katanya.
Menurutnya, operasi yang sama turut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Walaupun Ops Khas Perdagangan hari ini fokus kepada kenderaan perdagangan namun dalam masa sama pihak polis bekerjasama dengan JPJ dan AADK untuk membuat pemeriksaan kepada kenderaan dan menyasarkan pengguna jalan raya yang mengambil dadah,” katanya sebelum memulakan operasi di sini hari ini.
Susulan itu, katanya, seramai 19 pegawai dan anggota telah memeriksa sebanyak 150 kenderaan dengan sejumlah 80 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Dalam pada itu, JPJ juga mengeluarkan sebanyak 58 saman yang kebanyakannya melakukan kesalahan dengan tidak mengikut spesifikasi nombor plat yang ditetapkan.
Jelas Amir, operasi yang bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu telah menahan sebuah lori ke stesen timbang JPJ Semenyih kerana melebihi had muatan.
Tambah beliau, pihak AADK juga telah membuat saringan seramai 38 orang dengan 12 daripadanya didapati positif dadah jenis sintetik.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan jalan raya dalam memastikan keselamatan pengguna trafik terjamin. – MalaysiaGazette